Panasnya Hari Ini

Tiada Kebenaran Bertulis Daripada Najib Dalam Pengambilalihan Genting Sanyen

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tiada kelulusan secara bertulis daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pengambilalihan Genting Sanyen (M) Sdn Bhd oleh dana kekayaan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bernama melaporkan perkara itu dibangkitkan oleh peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed semasa pemeriksaan balas terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dengan merujuk kepada Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) 1MDB.

Memetik Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) 1MDB, beliau berkata beberapa keputusan syarikat memerlukan kelulusan perdana menteri.

Bagaimanapun, Shahrol Azral yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan berkata, kelulusan perdana menteri tidak diperlukan untuk pengambilalihan Genting Sanyen.

Dalam testimoni beliau pada 30 Sept, tahun lepas, Shahrol Azral berkata pengambilalihan penjana tenaga bebas, Genting Sanyen (M) Sdn Bhd, dilaksanakan 1MDB selepas kelulusan diterima daripada Najib, dalam kapasiti beliau selaku menteri kewangan, mewakili Menteri Kewangan Diperbadankan pada 2012.

Dalam soalan lanjut Wan Aizuddin, Shahrol Azral bersetuju dalam dua pengambilalihan loji janakuasa oleh 1MDB, iaitu Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Genting Sanyen (M) Sdn Bhd, hanya DCR digunakan.

Wan Aizuddin bertegas bahawa saksi berkenaan cuba mengelak daripada dipersoalkan oleh ahli lembaga pengarah tentang pengambilalihan itu, yang dinafikan Shahrol Azral.

Shahrol Azral berkata peguam 1MDB, Jasmine Loo memberitahu beliau bahawa masa adalah suntuk untuk memanggil semua ahli lembaga pengarah bermesyuarat bagi membincangkan dengan lebih lanjut pengambilalihan itu.

Shahrol Azral: Saya tidak mempunyai alasan untuk meragui peguam kerana semua dokumen sudah disiapkan Jasmin bersama Goldman Sachs dan semuanya dalam keadaan betul dan teratur.

Wan Aizuddin: Saya katakan pada anda bahawa DCR digunakan dan bukannya keputusan menerusi mesyuarat penuh ahli lembaga pengarah kerana anda berniat mahu menipu mereka.

Shahrol Azral: Saya tidak setuju.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah disambung pada 3 Ogos ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");