Berita Hari Ini

TNB Umum Bayaran Dividen Tertinggi

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan bayaran dividen tertinggi berjumlah RM5.69 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019 (FY2019).

Lembaga Pengarah TNB juga telah meluluskan dividen peringkat tunggal akhir 20 sen sesaham, sekali gus menjadikan jumlah dividen peringkat tunggal itu kepada 50 sen sesaham bagi tempoh kewangan tersebut.

Selain itu, Lembaga Pengarah TNB turut meluluskan dividen khas 50 sen sesaham yang menjadikan jumlah dividen sesaham kepada RM1.

“Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut kita dapat memberi dividen pada akhir polisi dividen sebanyak 30 peratus dan 60 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI),” kata Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam kenyataan malam tadi, lapor Bernama.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan TNB yang buat pertama kalinya diadakan secara maya.

Setakat Mei 2020, barisan pemegang saham utama TNB termasuk Khazanah Nasional Bhd (25.8 peratus); Permodalan Nasional Bhd (18.1 peratus); Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (16.7 peratus) dan Kumpulan Wang Persaraan (6.7 peratus).

“TNB akan terus mengimbangi komitmennya bagi mengembangkan perniagaan demi meraih pulangan saksama untuk pemegang saham selain tanggungjawabnya terhadap pelanggan dalam tempoh semasa yang mencabar ini.

“Kita juga akan terus bekerjasama erat dengan kerajaan untuk menyokong rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan di bawah pakej PRIHATIN dan Bantuan PRIHATIN Elektrik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");