Berita Hari Ini

‘Wajibkan agensi berita miliki lesen Finas cabul kebebasan media’

Mewajibkan agensi berita untuk memiliki lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) adalah pencabulan terhadap kebebasan media, kata jaringan global editor, wartawan dan eksekutif media International Press Institute (IPI) yang berpangkalan di Vienna.

Dalam satu kenyataan semalam, pengarah advokasi IPI, Ravi R Prasad juga mendakwa kerajaan cuba menyukarkan media.

“Syarat pelesenan luar biasa yang dikenakan pada penggambaran video untuk liputan berita adalah pencabulan secara jelas terhadap kebebasan media dan hak untuk mendapatkan maklumat,” katanya.

“Kerajaan Malaysia berusaha untuk menghalang media bebas dengan menguatkuasakan sekatan sewenang-wenangnya.”

Al Jazeera disiasat kerana tidak mempunyai lesen Finas untuk menyiarkan dokumentari “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”.

Media antarabangsa itu berpendapat bahawa lesen tersebut tidak diperlukan kerana program isu semasa “101 East”, di mana dokumentari ini disiarkan, tidak termasuk dalam bidang kuasa Finas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah telah mencetuskan kontroversi apabila beliau mengatakan Akta Finas 1981 mewajibkan “media arus perdana dan media sosial peribadi” memerlukan lesen Finas untuk menerbitkan filem.

Selepas menerima pelbagai kecaman atas talian, beliau memberi jaminan bahawa undang-undang itu tidak akan digunapakai terhadap pengguna media sosial sama ada di TikTok, YouTube atau platform lain.

Saifuddin kemudian berkata kerajaan Perikatan Nasional “menyokong” prinsip kebebasan media, dan akan memperbarui undang-undang berusia 39 tahun itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan pengecualian dalam undang-undang untuk agensi berita.

Seperti IPI, kumpulan lain seperti Freedom Film Network dan Centre for Independent Journalism mendesak Saifuddin mengotakan janjinya terhadap kebebasan media dengan tidak menggunakan Akta Finas terhadap Al Jazeera.

Agensi berita digalakkan dapatkan lesen

Sementara itu, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid memberitahu The Malaysian Insight bahawa agensi berita swasta yang bukan milik kerajaan akan memerlukan lesen Finas untuk pembikinan filem dokumentari.

Mereka juga memerlukan surat perakuan penggambaran (SPP).

Bagaimanapun, liputan berita mengenai acara seperti sidang akhbar dan rakaman sekunder B-roll, dikecualikan.

“Dokumentari memerlukan lesen tetapi sidang media dan lain-lain yang dianggap sebagai liputan berita, tidak perlu ada lesen.

“Penggambaran dokumentari berbeza dengan pengambilan liputan berita,” katanya seperti dipetik oleh portal berita tersebut.

Zakaria juga berkata, agensi berita digalakkan untuk memohon lesen Finas, yang perlu diperbaharui setiap tahun.

Finas boleh menolak atau membatalkan lesen tanpa perlu menjelaskan sebabnya. Keputusan itu tidak dibenarkan dicabar di mahkamah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");