Berita Hari Ini

9 Kakitangan MBSA Disiasat SPRM Digantung Tugas

SUNGAI BULOH: Sembilan pegawai dan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termasuk seorang berpangkat ketua jabatan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini sudah digantung tugas.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim, berkata tindakan penggantungan tugas adalah rutin biasa dijalankan oleh mana-mana jabatan kerajaan terhadap penjawat awam yang sedang disiasat agensi pencegahan rasuah itu.

“Mana-mana pegawai yang sedang disiasat akan digantung tugas dahulu dan akan ditempatkan di jabatan lain sementara SPRM selesai menjalankan siasatan mereka.

“Ini adalah rutin biasa bagi penjawat awam, mana-mana mereka yang disiasat atas apa juga kesalahan, akan digantung tugas dan diberi tugasan lain,” katanya kepada pemberita pada Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh di sini, hari ini.

Katanya, MBSA akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan tidak akan berselindung atau cuba melindungi mereka yang melakukan kesalahan memetik BH Online.

Ketika ditanya sama ada MBSA akan menjalankan siasatan dalaman sendiri berhubung kes itu, beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan sebaik sahaja SPRM selesai menjalankan tugas mereka.

“Biar SPRM jalankan siasatan terlebih dahulu, dan apa sahaja hasil siasatan, barulah kita ambil tindakan selepas itu.

“Sekiranya kita buat siasatan sekarang, takut akan mengganggu siasatan SPRM,” katanya lagi.

Semalam, SPRM menahan pengarah sebuah jabatan di MBSA bagi membantu siasatan berhubung kes melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian.

Penahanan lelaki berusia 59 tahun itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi sebelum dia direman enam hari untuk membantu siasatan.

Turut ditahan, lapan penguat kuasa MBSA serta seorang peniaga warga Acheh berkaitan aktiviti rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh sejak isu berkenaan tular beberapa hari lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");