Berita Hari Ini

Ahli Parlimen blok kerajaan minta rang undang-undang IPCMC ditarik balik

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang berada dalam aturan mesyuarat persidangan Dewan Rakyat kali ini, mendapat perhatian dengan rata-rata Ahli Parlimen blok kerajaan meminta ia ditarik balik.

Pembentangan rang undang-undang IPCMC 2019 ditangguhkan pada persidangan dewan Disember lalu untuk penambahbaikan menerusi pandangan daripada pihak berkepentingan, dan dimasukkan dalam aturan mesyuarat untuk dibentang pada persidangan ini.

Kalangan Ahli Parlimen blok kerajaan yang menyentuh perkara itu dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 hari ini, sama ada ketika berbahas atau mencelah perbahasan meminta kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang IPCMC yang turut dianggap sebagai penganiayaan terhadap pasukan polis.

Bagaimanapun Ahli Parlimen blok pembangkang mahu kerajaan meneruskan penubuhan suruhanjaya itu yang disifatkan turut memberi penekanan untuk membela kebajikan anggota polis.

Datuk Seri Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) berkata usul itu bukan agenda kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya ia adalah agenda Pakatan Harapan.

“Saya sebagai Ahli Parlimen yang mewakili UMNO dari dulu lagi pun tidak bersetuju dengan IPCMC, maka sudah tentu kita tidak senang,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa rang undang-undang IPCMC itu memerlukan pindaan pada Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen dan berdasarkan landskap politik kini adalah mustahil untuk kerajaan mendapat sokongan dua pertiga itu.

Nazri berkata, negara sudahpun mempunyai suruhanjaya khusus bagi melihat perkara mengenai penguatkuasaan iaitu Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang mempunyai kuasa untuk menyiasat agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Ini satu bentuk penganiayaan polis, kalau nak buat satu suruhanjaya khusus untuk polis maka kita juga kena ada satu suruhanjaya juga untuk imigresen, kastam dan JPJ, baru adil,” katanya.

Senada dengan Nazri, Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) berpandangan IPCMC tidak wajar diperkenalkan memandangkan ia mungkin bakal dipengerusikan oleh Ahli Parlimen berkepentingan serta tidak berpengalaman dalam bidang kepolisan.

“Walaupun kita tahu Parlimen ini badan yang tinggi, kita bimbang IPCMC mungkin dipengerusikan oleh orang-orang yang berkepentingan. Polis adalah satu badan yang mana mereka telah angkat sumpah rahsia dan pergi latihan, tiba-tiba (IPCMC) nak dipengerusikan oleh orang yang belum ada pengalaman mengenai kepolisan.

“Kita (sudah) dengar pandangan ramai polis. Majoriti pandangan polis tidak setuju dengan IPCMC kerana kita ada badan lain untuk semak mereka ini,” kata Shahidan.

Antara penyokong kerajaan yang bangun mencelah menyokong Rang Undang-Undang IPCMC ditarik balik ialah Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan); Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang); dan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol).

Sementara itu, Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) berkata, terdapat keperluan mewujudkan sebuah suruhanjaya atau akta yang perlu dipatuhi anggota polis agar integriti institusi itu dapat dipelihara.

Jelas beliau, objektif penubuhan IPCMC perlu difahami, kerana ia dicadangkan berlandaskan aspirasi untuk melihat pasukan polis benar-benar polis diraja.

“Sekiranya kerajaan yang ada ini (kerajaan PN) rasa IPCMC ini tidak adil, tidak baik …ini harus diperbetulkan dan mesti ada polisi atau akta ataupun suruhanjaya yang lain,” katanya yang senada dengan Mohd Nazri bahawa tekanan tidak harus diletakkan pada polis semata-mata, kerana institusi penguat kuasa lain juga terdedah dengan insiden salah laku.

Hujah Salahuddin itu mendapat sokongan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) yang bangun mencelah dengan menyatakan IPCMC bukan hanya untuk mencari kesalahan atau menjatuhkan reputasi polis, sebaliknya turut menjaga kebajikan mereka termasuk berkaitan kemudahan infrastruktur balai polis. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");