Perak Hari Ini

Akan Umum Portal Khas Untuk Rakyat Malaysia Hilang Kerja Di Luar Negara – Saravanan

TAPAH: Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan satu portal khas bagi membantu rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di luar negara seperti Singapura berikutan terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menterinya Datuk Seri M. Saravanan berkata dengan adanya portal yang akan diumumkan pada Isnin depan, kementeriannya dapat mengenal pasti jumlah sebenar dan membela nasib mereka yang terjejas.

Katanya portal itu juga akan membantu individu yang berdaftar bagi mendapatkan sebarang maklumat dan peluang peningkatan kemaharian diri.

“Mereka yang bekerja di Singapura ini ada komitmen yang tinggi di Malaysia. Walaupun ia isu peribadi namun sebagai kerajaan yang prihatin kita harus mencari jalan untuk membantu rakyat kita.

“Saya belum dapat angka yang tepat berkenaan bilangan rakyat Malaysia yang sudah kembali ke negara ini atau yang kehilangan pekerjaan akibat krisis kesihatan dan eknomi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Go Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Orang Asli di Dewan Merdeka Tapah, di sini, hari ini.

Sebelum ini dalam persidangan Dewan Rakyat, Saravanan berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Tenaga Manusia Singapura bagi membincangkan jalan penyelesaian terhadap nasib kira-kira 400,000 pekerja Malaysia yang terjejas di negara tersebut.

Sementara itu beliau menyeru agar individu yang menyertai program-program latihan kemahiran oleh kerajaan tidak terlalu memilih peluang pekerjaan dalam tempoh sukar seperti kini.

“Saya nasihatkan kepada mereka agar menerima apa sahaja peluang pekerjaan walaupun kadar gaji berkurangan daripada sebelum ini.

“Ini kerana dalam keadaan semasa, lebih baik kita mempunyai pekerjaan dengan bergaji rendah berbanding tiada pekerjaan langsung,” ujarnya.

Beliau memberi jaminan, isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan ini akan dapat diatasi sebaiknya menerusi program-program khas dilaksanakan kerajaan.

Pada masa sama, Saravanan juga meminta agar pihak berkuasa tempatan dapat memberi kelonggaran lesen perniagaan kepada rakyat bagi memastikan mereka tidak menghadapi masalah dari sudut sumber pendapatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");