Perak Hari Ini

Bekas Pegawai Kebudayaan SUK Perak Hadapi Tiga Lagi Pertuduhan Rasuah Berjumlah RM108,000

IPOH: Seorang bekas penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, kali kedua atas tiga lagi pertuduhan berasingan rasuah yang membabitkan jumlah RM108,000.

Tertuduh, Herman Ibrahim, 45 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Dia yang merupakan bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak, di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak dituduh melakukan kesemua kesalahan tersebut di tempat dan waktu berbeza ketika bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukan Malaysia (Sukma) XIX Perak 2018.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima wang berjumlah RM50,000 dengan tiada balasan daripada Pemilik Syarikat Ainaz Marketing, Zainab Nasir di Bank Jalan Tun Sambanthan, di sini, pada 21 November 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Herman didakwa menerima wang berjumlah RM 40,000 dengan tiada balasan daripada individu sama iaitu Zainab di RHB Bank Jalan Tun Sambanthan, di sini, pada 1 Februari 2019.

Sementara bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima wang berjumlah RM 18,000 dengan tiada balasan daripada pemilik Syarikat Shadess Event Planner, Mohd Faitullah Idris di sekitar Pejabat SUK Negeri Perak pada 18 November 2018.

Herman dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin meminta mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin untuk setiap pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, pada setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Khairilazwar Khalil yang mewakili Herman memohon jaminan dikurangkan kepada RM7,000 bagi setiap pertuduhan kerana tertuduh hadir melaporkan diri ke pejabat SPRM Negeri seperti diarahkan sebelum ini.

Peguam juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh turut masih menanggung tiga orang anaknya berumur antara 11 hingga 18 tahun yang masih belajar.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 untuk semua pertuduhan dan dikehendaki melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Negeri.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada Julai lalu, Herman yang sebelum ini berkhidmat selama 24 tahun di Pejabat Kebudayaan SUK Perak dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini dengan tiga pertuduhan rasuah lain yang berjumlah RM149,600

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");