Perak Hari Ini

Buat Tuntutan Palsu, Penjawat Awam Dipenjara 12 Bulan

IPOH: Seorang penjawat awam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas 14 pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan sebanyak RM75,438.70 pada 2014 hingga 2015 lalu.

Tertuduh, Roslan Al Sidek Sulaiman, 40 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Pembantu Akauntan telah secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi tujuan tuntutan pembayaran pembelian bahan keluaran Petroleum iaitu Petrol, Diesel dan Pelincir dengan menggunakan invois atas tiga syarikat.

Kesalahan dilakukan di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak antara September 2014 hingga Ogos 2015.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula pada 3 ogos 2020 terhadap tuduhan pertama hingga tuduhan ke-14 dan denda RM5,000 serta satu bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal bayar.

Roslan dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Walaupun hukuman penjara berjumlah 14 tahun dengan denda RM70,000, hakim bagaimanapun memerintahkan semua hukuman berjalan serentak.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ‘Azmi Yusuf, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada tertuduh bagi memberi pengajaran dan mesej kepada penjawat awam bahawa kesalahan tersebut adalah serius dan memberi kerugiann yang besar kepada kerajaan.

Menurut Azmi, pihak pendakwaan juga percaya tertuduh berada dalam keadaan sedar dan waras semasa melakukan kesalahan tersebut.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman diringankan kerana dia perlu menanggung ibu bapa yang sudah lanjut usia, isteri yang tidak berkerja dan tiga orang anak berusia 11 hingga 19 tahun.

Tertuduh yang menghidap penyakit hati juga memohon hukuman diberikan seringan ringannya kerana dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam kes yang lain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");