Berita Hari Ini

COVID-19: Satu Lagi Kluster Baharu Dikesan Di Kedah

KUALA LUMPUR – Satu lagi kluster baharu dikenali sebagai Kluster Sala dikesan di daerah Yan, Kedah melibatkan seorang lelaki warganegara sebagai kes pertama kluster tersebut.

Bernama melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki berkenaan (kes ke-9148) dikesan positif pada 13 Ogos, melalui sistem survelan klinikal Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan pada 14 Ogos dan kes dikesan positif pada 15 Ogos. Ketiga-tiga kes dilaporkan hari ini adalah merupakan ahli keluarga kepada kes pertama (kes ke-9148),” katanya dalam kenyataan akhbar perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, 79 kontak rapat kes pertama kluster tersebut disaring dan daripada jumlah itu tiga kes dikesan positif dan 76 individu masih menunggu keputusan.

Beliau berkata kesemua kes bagi kluster itu melibatkan warganegara Malaysia dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang dikenal pasti,” katanya.

Mengenai status terkini kluster Tawar di Kedah, Dr Noor Hisham berkata terdapat 12 kes baharu dilaporkan hari ini iaitu 10 kes di Kedah dan dua kes di Pulau Pinang.

Menurutnya, ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 bagi kluster berkenaan sebanyak 33 kes.

“Sehingga 12 tengah hari ini, 657 individu disaring dalam kluster ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai kluster Muda di Kedah, beliau berkata terdapat satu kes baharu dilaporkan hari ini.

“Sehingga 12 tengah hari ini, 133 individu disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini, tiga kes dikesan positif COVID-19, 27 individu negatif dan baki 103 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");