Berita Hari Ini

COVID-19: Tujuh Kes Baharu Libatkan Lima Penularan Dalam Negara

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh kes baharu positif COVID-19 melibatkan lima kes penularan dalam negara dan dua kes import dilapor hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu di negara ini sebanyak 9,274 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 184 kes.

“Daripada lima kes penularan dalam negara, dua kes adalah warga Malaysia dan tiga kes bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Mengenai dua kes membabitkan warga tempatan itu, Dr Noor Hisham berkata kedua-duanya dikesan di Sarawak iaitu satu kes melalui saringan di tempat kerja manakala satu kes lagi adalah saringan sebelum bersalin.

Menurut beliau, kedua-dua kes berkenaan tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Tiga kes penularan dalam negara melibatkan bukan warganegara dikesan di Sarawak menerusi dua kes saringan di tempat kerja. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak; dan satu kes sebelum balik ke negara asal,” jelasnya.

Bagi dua kes import, yang kedua-duanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Noor Hisham berkata ia membabitkan warga tempatan yang masing-masing mendapat jangkitan dari Filipina dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak enam kes telah pulih COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada virus itu adalah 8,965 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau juga berkata tiada pertambahan kes kematian dilapor hari ini dengan jumlah keseluruhan maut akibat COVID-19 kekal sebanyak 125 kes.

“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan lima kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tiada kes baharu dilapor bagi Kluster Tawar hari ini, namun saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan tetap diteruskan.

Setakat ini, seramai 3,436 orang telah disaring dalam kluster ini yang merangkumi tiga negeri iaitu 2,907 individu disaring di Kedah membabitkan 54 kes positif, 2,393 individu negatif dan 460 individu masih menunggu keputusan, katanya.

“Di Pulau Pinang pula, seramai 518 individu disaring dengan 11 kes adalah positif, 506 individu negatif dan satu individu masih menunggu keputusan sementara di Perak kekal melibatkan 11 saringan dengan kesemuanya negatif,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");