Perak Hari Ini

‘Cukup-cukuplah Isu Bendera Terbalik’ – Exco Perak

IPOH: Semua pihak digesa untuk menghormati bendera Jalur Gemilang dengan menempatkan atau memasangnya dengan keadaan yang baik.

Menurut Exco Kerajaan Perak, Khairul Shahril Mohamed, beliau berharap agar insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang berlaku seperti sebelum ini tidak berulang dan dihentikan segera.

“Saya mengharapkan isu salah pasang bendera kita ini tidak sepatutnya berulang. Walau apa pun alasan diberikan, langsung ia tidak boleh diterima.

“Tambahan pula sekiranya warga Malaysia sendiri yang gagal memasang bendera Jalur Gemilang dalam keadaan betul.

“Cukup-cukuplah isu ini yang berlaku sebelum ini dan diharap perkara sebegini tidak lagi berulang selepas ini,” katanya.

Selain itu ujarnya kerajaan negeri menyokong penuh penguatkuasaan undang-udang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kesalahan itu.

“Kerajaan negeri mengambil berat isu pemasangan bendera terbalik ini. Walau bagaimanapun,kita masih tertakluk dengan peruntukan perundangan sedia ada,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Merdeka Talk 2020 di Auditorium Perak FM, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), Datuk Sri Ibrahim Abdul Rahman serta Pengarah Penerangan Negeri, Mohd Taib Ubah.

Pada Ogos tahun lalu media melaporkan berlaku beberapa kali insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di dalam negara sehingga mengundang keresahan masyarakat.

Dalam pada itu, Khairul Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, menyeru agar semua pihak dapat menggantikan Jalur Gemilang lusuh yang digantung di premis masing-masing dengan yang baharu.

“Jika tidak mampu menggantikannya dengan yang baharu, kita boleh turunkan bendera yang lusuh itu dan tempatkan ia di tempat yang sesuai,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Khairul Shahril berkata Sambutan Hari Belia Negara 2020 peringkat Negeri Perak akan berlangsung di Kompleks Belia Negeri pada esok.

Katanya sebanyak 10 anugerah akan disampaikan yang merangkumi kategori belia kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan, orang kelainan upaya (OKU), orang asli serta bukan Bumiputera.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");