Berita Hari Ini

Imigresen nafi batal permit Rayhan sebab kenyataan Al Jazeera

JABATAN Imigresen Malaysia menolak dakwaan permit kerja warga Bangladesh Md Rayhan Kabir dibatalkan kerana kenyataannya dalam wawancara disiarkan rangkaian antarabangsa Al Jazeera.

Sumber jabatan itu menjelaskan, permit tersebut dibatalkan kerana individu tersebut tidak lagi bekerja dengan syarikat mengikut kelulusan yang disyaratkan.

“Pas pekerjanya di bawah syarikat Sirhan Legacy Sdn Bhd, sebuah syarikat pembinaan tetapi dia bekerja untuk Malik Streams Production.

“Sebaik kes ini timbul, kedua-dua majikannya tidak mahu mengaku Rahyan adalah pekerja mereka dan dia didapati salah guna permit kerjanya untuk berada di Malaysia.

“Sebab itu permitnya dibatalkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, agensi itu juga menyiasat syarikat yang didakwa sebagai majikan Rayhan itu bagi mengelak permit kerja disalahguna untuk tujuan lain.

“Syarikat asal yang bekalkan Rayhan permit juga ada kaitan dengan negara asalnya dan menjadi subkontraktor untuk beberapa projek selain menyediakan pekerja.

“Permit kerjanya sah hingga hujung tahun ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan arahan pengusiran Rayhan pulang ke Bangladesh, sumber agensi itu berkata, tindakan itu biasanya dijalankan sebelum perintah tahan reman 14 hari tamat.

“Kami hanya menunggu kebenaran dan menyiapkan dokumen serta tiket penerbangan siap. Biasanya semua proses ini perlu selesai dalam tempoh reman.

“Memandangkan dia sudah jumpa wakil suruhanjaya tinggi dan peguamnya, persiapan dari segi tiket mungkin akan selesai dalam masa terdekat,” katanya.

Rayhan ditahan pada 24 Julai di satu lokasi di Setapak dan imigresen pada keesokan harinya mendapat perintah tahanan reman 14 hari.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud, lelaki itu akan diusir keluar dari negara ini dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selama-lamanya.

Rayhan, 25, ditahan selepas diburu selama lebih dua minggu dengan bantuan orang awam bagi kes mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Siasatan dimulakan pasukan polis susulan aduan ke atas kenyataan Rayhan yang disiarkan dalam dokumentari Al Jazeera bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown.

Ia susulan laporan polis yang mendakwa Kenyataannya dalam dokumentari tersebut berniat jahat untuk memburuk-burukkan Malaysia ketika mengendalikan warga asing sewaktu menangani Covid-19.

Sebaik lelaki itu ditahan, majikannya Malik Streams Production & Distribution Sdn Bhd tampil dengan kenyataan akan mengambil tindakan terhadap Rayhan.

Syarikat tersebut mendakwa Rayhan bukan kakitangan mereka tetapi hanya pernah memberi perkhidmatan sebagai kontraktor syarikat.

Syarikat itu juga mendakwa lelaki itu membuat kenyataan palsu kerana mendakwa sebagai ketua pemasaran Malik Streams serta mencemarkan nama baik dan reputasi syarikat itu.

Wartawan Al Jazeera turut disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain Akta Hasutan 1948.

Siasatan ke atas Al Jazeera berhubung dokumentari yang disiar pada 3 Julai itu menerima kecaman pengamal media dan kumpulan hak asasi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");