Berita Hari Ini
Like

Isu sekolah di zon merah Covid-19 tumpuan sidang parlimen

August 4, 2020
222 Views
0 Comments
1 minute read
Isu sekolah di zon merah Covid-19 tumpuan sidang parlimen

Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan penutupan sekolah di Zon Merah Covid-19 seperti Kuching, Sarawak adalah antara perkara bakal dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat, yang memasuki hari ke-13 hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan yang diajukan oleh Teo Nie Ching (PH-Kulai) kepada Menteri Pendidikan adalah antara tiga soalan yang dikemukakan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Sementara itu, Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) dijadual bertanyakan Perdana Menteri mengenai cadangan memperkenal undang-undang khas seperti Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016 di Singapura bagi menangani kes menghina mahkamah secara lebih efektif.

Dalam sesi soal jawab lisan pula, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dijangka mengajukan soalan kepada Perdana Menteri berkaitan sebab pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ditangguhkan serta sejauh mana permasalahan fiskal menjadi punca penangguhan itu.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat pada hari kedua minggu keempat ini akan menyambung perbahasan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong dengan tujuh kementerian dijadual menggulung perbahasan.

Pembentangan beberapa rang undang-undang bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 turut disenaraikan dalam urusan Aturan Mesyuarat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

 Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.