Perak Hari Ini

Jangkaan Kebenaran Umrah: Bergantung Kepada Situasi COVID-19 – Dr Zulkifli

PARIT: Walaupun Kerajaan Arab Saudi dijangka akan membenarkan pelaksanaan ibadah Umrah mulai bulan hadapan namun kebenaran untuk jemaah Malaysia menunaikan ibadah tersebut bergantung kepada situasi semasa COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata aspek keselamatan dan kesihatan jemaah di negara ini perlu diutamakan sebelum sebarang keputusan di buat.

“Keputusan untuk membenarkan jemaah kita pergi menunaikan Umrah itu bergantung kepada situasi COVID-19 yang mana ianya boleh berubah-ubah.

“Jadi, kerajaan menyambut baik apa juga keputusan berkaitan itu namun kemaslahatan dan juga dari sudut kesihatan rakyat harus diutamakan.

“Jika semuanya baik, saya berpandangan tidak ada masalah untuk kita membenarkannya. Namun ketika ini kita masih dalam situasi berjaga-jaga

“Kita perlu mengambil langkah-langkah untuk kita mengawal dan mengekang penularan COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyerahkan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan lebih 50,000 jemaah umrah di negara ini yang belum berlepas ke Tanah Suci berikutan usaha mengekang penularan COVID-19, bersedia untuk kembali melaksanakan ibadah itu pada bila-bila masa.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham dilaporkan menjangkakan kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah menunaikan Umrah mulai September atau Oktober ini.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi Media Arab Saudi pula dilaporkan berkata sedang menilai pembukaan semula Makkah untuk ibadah Umrah.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata sekiranya dibenarkan, Malaysia bersedia untuk memperhalusi beberapa aspek termasuk bilangan jemaah dan isu berkaitan jangkaan kos tambahan umrah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");