Berita Hari Ini
Like

‘Jho Low guna nama syarikat serupa firma terkemuka untuk curi wang 1DMB’

August 5, 2020
455 Views
0 Comments
4 minutes read
‘Jho Low guna nama syarikat serupa firma terkemuka untuk curi wang 1DMB’

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low sengaja menamakan syarikat luar pesisir tidak aktif yang ditubuhkannya untuk menyamai nama syarikat terkemuka dalam konspirasinya untuk mencuri jutaan dollar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dicadangkan oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib Razak dalam pemeriksaan balas ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam itu tentang tabiat Jho Low yang mempergunakan nama-nama syarikat, bagaimanapun beliau tidak mahu komen tentang motif Jho Low berbuat demikian.

Isu tentang nama syarikat itu timbul semasa saksi ditanya oleh Wan Aizuddin sama ada beliau biasa dengar tentang syarikat persendirian dikenali Abu Dhabi Media Investment Corporation (ADMIC), yang mempunyai akronim serupa dengan syarikat Jho Low iaitu Abu Dhabi Malaysia Investment Company Ltd (ADMIC Ltd).

ADMIC ialah syarikat pelaburan persendirian milik Sheikh Mansour bin Zayed Al-Nahyan dan British Sky Broadcasting, manakala ADMIC Ltd ditubuhkan oleh Jho Low, yang sepatutnya menjadi syarikat tujuan khas (SPV) bagi usaha sama 1MDB.

ADMIC Ltd ialah syarikat yang asalnya didaftarkan sebagai Malaysian Abu Dhabi Investment Company (MADIC) pada 5 Mac, 2013 tetapi nama itu ditukar kepada Abu Dhabi Malaysian Investment Company Limited (ADMIC Ltd) pada 12 Mac pada tahun yang sama.

Wan Aizuddin: Adakah anda tahu bagaimana perubahan nama ini berlaku?

Shahrol Azral: Ada kisah lucu di sebaliknya. Jho Low beritahu saya bahawa pihak di Abu Dhabi agak sensitif bahawa “Malaysia” lebih awal dalam nama itu sebelum “Abu Dhabi”. Jadi saya kata “ikut suka mereka lah”. Jho Low kata mereka mahu lakukannya (tukar nama), saya kata saya tiada masalah.

Wan Aizuddin: Saya cadangkan bahawa pertukaran nama (daripada MADIC) kepada ADMIC bertujuan untuk mengelirukan orang …untuk menunjukkan ADMIC seolah-olah adalah (firma pelaburan media) ADMIC yang diperbadankan di Abu Dhabi.

Shahrol Azral: Saya tiada komen tentang perkara itu.

Wan Aizuddin: Saya katakan kepada anda, bahawa caranya menukar nama ada satu cara, oleh Jho Low, untuk menyempurnakan rancangannya bagi membolehkannya menggelapkan berbilion dollar daripada 1MDB.

Shahrol Azral: Saya tidak mahu komen tentang motifnya.

Wan Aizuddin: Tetapi anda bersetuju tentang tabiatnya (menggunakan nama serupa).

Shahrol Azral: Saya setuju.

Semasa ditanya sama ada beliau tahu tentang tujuan mempunyai syarikat luar pesisir bagi usaha sama itu dan jika terdapat sebarang faedah bagi syarikat itu sebagai syarikat luar pesisir, saksi berusia 50 tahun itu berkata beliau tidak bertanyakan (Jho Low) tentang perkara itu.

1MDB salur hampir AS$600 juta pada Aabar BVI Ltd 

Semalam, mahkamah diberitahu Jho Low dan rakan kongsinya telah memperbadankan Aabar BVI Ltd di British Virgin Island untuk menjadikannya serupa dengan Aabar Investment PJS, yang merupakan subsidiari sebenar International Petroleum Investment Company (IPIC).

Terperdaya dengan nama yang hampir serupa itu, 1MDB kemudiannya telah menyalurkan hampir AS$600 juta kepada Aabar BVI Ltd bagi tujuan pembangunan tanah di Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (kini dikenali TRX).

Dilaporkan Jho Low turut menubuhkan Blackstone Asia Real Estate Partners, syarikat tidak aktif dengan nama hampir serupa dengan firma ekuiti hartanah persendirian, Blackstone Real Estate.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.