Perak Hari Ini

Kelantan Mahu Kenakan Cukai Kabel Bawah Tanah, Dasar Laut

Kerajaan bercadang mengenakan cukai terhadap kabel atau paip utiliti yang ditanam dalam bumi atau laut bagi menambah hasil negeri.

Menteri Besar, Ahmad Yakob, berkata ia boleh dilakukan selepas kerajaan negeri menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750).

“Kita merancang dan berusaha untuk mengenaikan (cukai) di mana-mana laluan dalam bumi atau laut.

“Dengan adanya kita menolak Akta 750, insya-Allah kita akan kenakan (cukai) kepada mana-mana struktur atau laluan paip dan sebagainya dalam bumi dan dalam laut untuk mendapatkan hasil,” katanya.

Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) pada persidangan di Kota Bharu hari ini lapor MalaysiaKini.

Sebagai rekod, pada 2015 Kelantan menolak Akta 750 selepas mendakwa Kerajaan Persekutuan mengambil peluang untuk mengehadkan sempadan perairan negeri kepada tiga batu nautika saja.

Terdahulu, Md Alwi bertanya sama ada kerajaan negeri mahu atau tidak mengenakan cukai kepada semua kabel atau kabel optik untuk utiliti bawah tanah kepada syarikat komunikasi dan gas.

“Pada saya kalau ini dijadikan satu akta mengutip cukai kepada sesiapa yang menggali dan pasang kabel. Kalau ini boleh dibuat, yang membayar cukai adalah syarikat besar dan bukan orang kampung,” katanya.

Pada masa sama, ketika menjawab soalan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) mengenai usaha kerajaan negeri meningkatkan hasil, Ahmad berkata antara langkah yang diambil ialah melaksanakan persempadanan semula kategori tanah di semua jajahan bersesuaian.

“Pada masa sama, kita mempercepatkan proses pemilikan tanah kepada pelanggan individu, anak-anak syarikat dan agensi negeri serta agensi kerajaan persekutuan.

“Kita juga percepatkan pemberi milikan tanah kepada Tenaga Nasional Berhad atau syarikat telekomunikasi yang membabitkan segala struktur utiliti.

“Antara lain kita juga menguatkuasakan caj penggunaan bagi sebarang aktiviti binaan yang membabitkan hutan simpan kekal,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");