Berita Hari Ini

Kementerian Diarah Pastikan Bekalan Makanan Di Kawasan PKPD Pentadbiran Cukup

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan bagi memastikan bekalan makanan di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, termasuk yang melibatkan kluster Sivagangga di Kedah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kerajaan melaksanakan PKPD pentadbiran, penduduk terlibat dibenar keluar masuk, termasuk ke tempat kerja dengan syarat saringan Covid-19 perlu dilakukan.

“Saya akan maklum kepada KPDNHEP supaya bekalan makanan yang dikatakan berkurangan di kawasan yang dikenakan PKPD pentadbiran ditambah.

“Pendekatan di kawasan PKPD pentadbiran, mereka masih boleh bergerak di kawasan yang dikenakan dengan syarat perlu mendapat kebenaran dan disaring kesihatan. Perlu dipastikan negatif, mereka masih dibenar keluar bekerja,” katanya pada sidang media harian perintah kawalan pergerakan (PKP) hari ini.

Beliau diminta mengulas keluhan penduduk di kawasan yang dikenakan PKPD pentadbiran yang mendakwa bekalan makanan di kedai berkurangan.

Kira-kira 7,000 penduduk di 4 kawasan di Kedah yang dikaitkan dengan kluster Sivagangga dikenakan perintah PKPD secara pentadbiran bermula 3 hingga 30 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat susulan permohonan kerajaan Kedah untuk melaksanakan perintah itu setelah mengambil kira 11 kes baru yang berpunca daripada kluster itu membabitkan 4 mukim.

Ia membabitkan kawasan dengan radius 1km dari Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh (Mukim Hosba), Kampung Pida Satu di pekan Megat Dewa (Mukim Ah) dan Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjai).

Kesemua 3 mukim itu terletak di daerah Kubang Pasu serta Kampung Ulu di pekan Padang Sanai (daerah Padang Terap).

Dalam sidang media sama, Ismail berkata, isu hotel yang dijadikan pusat kuarantin Covid-19 yang didakwa kotor dan mempunyai masalah makanan telah diselesaikan memetik laporan FMT.

“Difahamkan Nadma telah ambil tindakan dan terbaru menu makanan juga telah ditukar,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");