Perak Hari Ini

Kerjasama Pas Bersama MN Tidak Ikat Parti Berkenaan

TANJONG MALIM – Kerjasama Pas bersama UMNO dalam Muafakat Nasional tidak mengikat parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Pas berhak membuat pendirian tersebut memandangkan Muafakat Nasional (MN) bukanlah satu badan yang didaftarkan, namun dalam piagam ianya kerjasama yang dipersetujui kedua-dua parti.

Bagaimanapun menurut beliau, UMNO sendiri telah membuat pendirian untuk tidak menyertai PN.

“Tiada isu jika Pas nak berkerjasama dengan mana-mana parti, kita tidak mengikat. UMNO telah buat pendirian tidak akan menyertai PN, itu pendirian parti dan Pas menghormati pendirian itu.

“Pas pula kata akan bersama menyertai PN, kita juga menghormati pendirian Pas dan kita setuju, saya harap orang tidak keliru akan perkara ini,” katanya ketika ditemui media semasa Program Sembang Santai Minum Pagi di Bangunan UMNO Bahagian Tanjong Malim, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini yang tampil menjelaskan pendirian parti itu terhadap PN apabila berkata, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menyertai perikatan tersebut bersama Bersatu.

Tambah Mohamad Hasan, paling penting ketika ini adalah kerjasama Pas dan UMNO selaku dua parti terbesar mewakili orang Melayu di mana untuk mengelak perpecahan yang lebih besar kalangan orang Melayu.

“Yang penting di peringkat perpecahan orang Melayu di peringkat dua parti terbesar UMNO dan Pas dapat bekerjasama, itu pun dah alhamdulillah, itu hasrat kita untuk melihat orang Melayu jangan berpecah sangat, jika orang Melayu berpecah kepada banyak puak-puak, kabilah-kabilah ia akan merugikan orang melayu itu sendiri,” katanya.

Katanya lagi, sebagai satu kerajaan sama ada PN atau Muafakat Nasional (MN), hasratnya adalah untuk mengelakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru.

“Dalam satu kerajaan, kerajaan PN atau MN jadi sama-sama satu sama lain, yang penting bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kita cuba elak tak ada pertandingan tiga penjuru, kalau bertanding tiga penjuru kita kalah, yang menang PH, jadi pembahagian kerusi nanti mesti dirunding sebaik mungkin,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");