Berita Hari Ini

Kerusi Rembau: KJ sedia bincang Mat Hasan cara adik-beradik

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sedia berbincang secara “adik-beradik” dengan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung isu calon kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Perkara ini boleh dibincangkan kerana Mohamad dan saya daripada bahagian yang sama iaitu beliau merupakan Ketua Umno Bahagian Rembau manakala saya pula timbalan Umno Bahagian Rembau.

“Jadi biarlah kita berbincang dalam konteks ‘adik-beradik’ Rembau sebelum membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa makan tengah hari bersama jentera Ziarah Kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Besout 2 di Tanjung Malim, hari ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Mohd Zaidi Aziz.

Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi mengulas kenyataan Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau ketika merasmikan Mesyuarat Umno Cawangan Sri Kota pada 8 Ogos lepas yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15 kelak.

Sementara itu, bekas ketua Pemuda Umno tersebut menyifatkan insiden kurang menyenangkan yang dilapor berlaku kepada wakil Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN PRK DUN Slim semalam tidak menggambarkan pendirian parti.

Katanya tindakan beberapa orang itu tidak boleh dijadikan gambaran hubungan antara parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional.

“Mungkin terdapat elemen sama ada mereka sengaja mahu mencetuskan kontroversi ataupun mereka tidak nampak matlamat yang lebih besar iaitu penyatuan, terutamanya umat Islam dan bangsa Melayu melalui Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional,” katanya.

Semalam, media melaporkan setiap kali nama Armada Bersatu disebut oleh pemimpin BN yang berucap di majlis pelancaran berkenaan, sorakan “boo” kedengaran.

Mengulas mengenai PRK DUN Slim, Khairy berkata calon BN, Mohd Zaidi mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk kawasan itu kerana berpengalaman luas dalam pelbagai aktiviti terutama berkaitan belia.

“Saya dapati beliau memang seorang yang bekerja keras dan mempunyai banyak idea untuk membangunkan generasi muda di negara ini,” kata Khairy yang pernah menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");