Berita Hari Ini

Kes keganasan rumah tangga masih tinggi selepas PKP, kata kumpulan wanita

LAPORAN keganasan rumah tangga kekal tinggi walaupun kelonggaran perintah kawalan pergerakan membolehkan rakyat kini keluar dari rumah mereka, kata Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

WAO mendedahkan pihaknya menerima 879 pertanyaan- 493 panggilan telefon dan 386 mesej- berkaitan dengan keganasan rumah tangga pada Jun.

Pegawai Penyelidikan dan Advokasi WAO Yap Lay Sheng memberitahu The Malaysian Insight yang walaupun PKP sudah dilonggarkan, jumlah keganasan rumah tangga nampaknya tidak menurun.

“Angka masih tinggi disebabkan pelbagai punca. Walaupun PKP sudah dilonggarkan, ramai orang masih bekerja dari rumah dan penjarakan fizikal di tempat awam menghalang orang ramai daripada keluar,” kata Yap.

Malaysia menyaksikan lonjakan kes keganasan rumah tangga sejak PKP dikuatkuasa pada 18 Mac lalu.

Talian Kasih diuruskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merekodkan peningkatan 57% (1,893 panggilan) daripada wanita yang memerlukan bantuan pada Mac, sahaja.

WAO juga melaporkan peningkatan kes keganasan rumah tangga bermula Mac sehingga Mei, iaitu sepanjang PKP dikuatkuasa.

Jelas persatuan pembela hak wanita itu, lonjakan itu berlaku kerana ketika PKP mangsa menghabiskan banyak masa di rumah bersama-sama pendera mereka.

Sebelum PKP pada 18 Mac, WAO merekodkan 250 pertanyaan menerusi panggilan telefon dan aplikasi mesej WhatsApp pada Februari, tetapi jumlah itu melonjak sehingga 898 kes pada April dan 848 kes pada Mei.

Kumpulan pejuang hak wanita itu berkata pengurungan yang berlaku ketika PKP “memudahkan pendera melakukan kawalan fizikal, emosi dan sosial.”

Yap, bagaimanapun, berkata perhatian dan kesedaran terhadap keganasan rumah tangga ketika PKP juga membentuk persekitaran lebih selamat untuk mangsa tampil membuat aduan untuk menyelamatkan diri mereka.

“Peningkatan perhatian daripada media, tumpuan kerajaan dan kempen kumpulan masyarakat sivil membentuk persekitaran lebih selamat untuk mangsa tampil,” katanya.

“Mereka tidak lagi takut yang suara mereka akan didiamkan atau jeritan minta tolong mereka tidak dipedulikan.”

Tambahnya, usaha mengarus perdanakan isu keganasan rumah tangga sebagai isu serius masyarakat juga membentuk persekitaran lebih selamat dengan mangsa mengetahui masalah mereka tidak akan diperlekeh masyarakat.

Yap berkata ramai mangsa keganasan rumah tangga hanya akan tampil bercerita sekiranya mereka yakin mereka tidak akan dikecam.

“Ini boleh ditunjukkan oleh polis dan pihak berkuasa yang mengambil serius dakwaan mereka, atau oleh pihak lain dalam komuniti,” katanya.

Walaupun negara melaporkan lonjakan kes keganasan rumah tangga ketika PKP, Yap berkata tiada cara untuk menentukan sama ada laporan diterima adalah kes penderaan pertama kali berlaku.

“Apa yang kami tahu adalah penderaan bukanlah sesuatu yang berlaku sekali sahaja, ia adalah sebahagian daripada kitaran keganasan emosi, kewangan dan fizikal dikenakan pendera terhadap mangsa,” katanya.

“Apa yang kita mungkin lihat tahun ini mungkin juga kejatuhan kes keganasan rumah tangga ‘yang dilaporkan’ dengan polis, kerana ketika PKP, tiada pergerakan bebas dibenarkan,” kata Yap lagi.

Jelasnya, pihaknya tidak akan mampu menilai keseriusan kes keganasan rumah tangga dalam masyarakat tanpa bantuan kewangan kerajaan untuk melakukan tinjauan.

“Banyak kes tidak dilaporkan, atau mangsa memilih untuk mendapatkan bantuan tidak rasmi menerusi panggilan hotline disediakan kumpulan sivil berbanding membuat laporan rasmi dengan pihak berkuasa,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");