Perak Hari Ini

Khairuddin Dikompaun RM1,000: Seperti Wujud Undang-undang Dua Darjat – Syed Saddiq

SLIM RIVER: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman mempersoalkan kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib.

Katanya tindakan tersebut seolah-olah memberi mesej bahawa wujudnya undang-undang ‘dua darjat’ yang berbeza tindakan perundangan antara rakyat dan menteri.

“Sebelum ini Menteri Kanan sebutkan jika ada kesalahan yang melibatkan pelanggaran SOP seperti itu, tiada lagi tindakan kompaun sebaliknya terus didakwa ke mahkamah.

“Namun apabila ia melibatkan menteri, tiada pula pendakwaan. Apabila melibatkan seorang wanita berusia sekitar 70 tahun yang buat kesalahan sama, terus dihadapkan ke mahkamah.

“Individu yang lain ada yang dikenakan penjara berserta tindakan saman. Kini apabila kesalahan melibatkan menteri, seolah-olah ada ‘slot dan jalan khas’ kompaun untuk menteri pua. Ia tidak masuk akal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pelepasan Konvoi Anak Muda di perkarangan Bilik Gerakan Calon Bebas Pilihanraya Kecil (PRK) Slim, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, di sini, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan Mohd Khairuddin sudah di kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lalu kerana gagal mematuhi SOP kuarantin wajib selama 14 hari selepas pulang dari Turki pada 7 Julai.

Kompaun itu dikenakan kerana Mohd Khairuddin didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan beliau juga sudah membayar kompaun berkenaan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata tindakan tersebut juga akan memberikan mesej negatif kepada individu yang baru pulang dari luar negara selepas ini untuk mengingkari perintah kuarantin 14 hari.

“Saya rasa apabila berlaku seperti ini, ia menghantar mesej yang mengelirukan kepada rakyat. Selepas ini apabila ada yang pulang ke luar negara, dia akan mempersoalkan tindakan kuarantin.

“Dia akan katakan daripada perlu membayar kos pusat kuarantin atau hotel yang minimum RM2,100 lebih baik dia hanya membayar saman RM1,000 sahaja seperti yang dikenakan kepada menteri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berharap agar pengundi atas pagar khususnya dalam kalangan anak muda di Slim dapat memberi mesej protes berhubung isu tersebut kepada kerajaan.

“Memang PRK ini tidak dapat mengubah kerajaan namun jika kemenangan dapat diberikan kepada , Amir Khusyairi, ia akan dapat menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan bahawa mereka tidak boleh jadi ‘kerajaan dua darjat’,” ujar beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");