Panasnya Hari Ini

Kit Siang Rayu PM, AG, SPRM Gugur Pendakwaaan Terhadap Menantu

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini membuat rayuan terbuka kepada Perdana Menteri, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya kekal menghormati kehidupan awam dan menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap menantunya, Betty Chew.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Betty Chew yang beliau kenali ialah seorang isteri yang setia dan ibu kepada empat cahaya mata yang penyayang.

“‘Penjenayah’ yang mereka sebutkan itu bukan Betty Chew yang saya kenali selama tiga dekad,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Kit Siang, beliau berbangga dengan menantunya yang merupakan seorang peguam dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri di Melaka sebelum bersara.

Malah, katanya, beliau juga berbangga meskipun menghadapi tekanan kerja, Betty  masih boleh menjaga Guan Eng dan membesarkan empat orang anak cucu kesayangannya.

Kit Siang juga berkata, menantunya Betty tidak mempunyai barangan kemas, jam tangan atau beg tangan jenama mewah di rumahnya.

“Justeru mengapa ada percubaan untuk mengambarkan Betty Chew sebagai Rosmah Mansor kedua Malaysia?” soalnya.

Beliau juga melahirkan rasa terkejut apabila Betty ditangkap SPRM dan akan didakwa di mahkamah Butterworth Selasa ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Katanya, tindakan itu seolah-olah beliau seorang penjahat besar di Pulau Pinang yang terlibat dalam jenayah yang kebiasaannya dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram seperti pemerdagangan dadah, pembiayaan aktiviti keganasan dan rasuah.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai kes tersebut dan saya akan menyerahkan perkara itu kepada peguam untuk membela beliau,” katanya.

Kit Siang juga mendakwa penangkapan Guan Eng semata-mata bertujuan mematahkan semangat politik anaknya itu sepertimana beliau pernah dipenjarakan pada 1998 selama 18 bulan dan dilucutkan kelayakan sebagai Ahli Parlimen, hanya kerana mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur yang dirogol.

“Tuduhan rasuah terbaru terhadap beliau mungkin merupakan yang pertama terhadap pemimpin politik utama, di mana tidak disebut jumlah rasuah atau jumlah habuan tertentu tetapi amaun yang tidak jelas iaitu 10% keuntungan yang akan diperolehi kelak.

“Saya percaya anak saya tidak meminta dan tidak menerima wang sebagaimana yang dibuktikan bahawa tidak ada wang rasuah dijumpai secara tunai atau di dalam akaun bank peribadinya,” katanya.

Menurut Kit Siang, ketika Guan Eng ditangkap dan didakwa semalam, beliau terkenang semula perjalanan politiknya  selama 55 tahun dari tahun 1965 hingga 2020 yang merangkumi tiga generasi.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya, ketika saya membuat keputusan untuk mengabdikan diri dalam politik dan berjuang untuk Malaysia yang lebih baik pada tahun 1965 – dengan mengingkari nasihat keluarga dan rakan – bahawa sepanjang 55 tahun selepas itu saya akan melihat Guan Eng sekali lagi berdepan dengan dugaan dan penderitan.

“Mereka yang tidak kuat pasti akan cepat patah semangat dengan peristiwa yang dilalui Guan Eng,” katanya sambil mengakui tempoh 12 bulan Guan Eng ditahan di Penjara Kajang pada 1998-1999 merupakan tempoh terburuk dalam hidupnya, bahkan lebih buruk daripada dua penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Begitu juga ketika kali kedua semasa Operasi Lalang pada tahun 1987 ketika beliau dan Guan Eng berdua yang paling awal ditahan tetapi paling akhir dibebaskan dari Pusat Tahanan Kamunting.

“Namun begitu, kita perlu meletakkan had dalam situasi ini. Penganiayaan dan diskriminasi terhadap lawan politik adalah sesuatu yang tidak wajar dan harus dielakkan.

“Kita harus kekal menghormati kehidupan awam dan tidak memusnahkan keluarga serta menyasarkan anggota keluarga. Tindakan sebegini harus dihentikan,” katanya. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");