Berita Hari Ini

Kluster baharu Covid-19 dikesan di Kedah

SEMBILAN daripada 15 kes baharu Covid-19 hari ini adalah daripada kluster baharu di Kedah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Sembilan kes itu dikaitkan dengan Kluster Tawar, katanya, menambah yang kes indeks adalah seorang ahli perniagaan yang hadir upacara pengebumian selama dua hari di Tawar, Kedah pada 31 Julai lalu.

Dr Noor Hisham berkata majlis itu dihadiri lebih kurang 30 orang dan kesemua mereka sedang dijejak dan disaring.

Kes ke-10 jangkitan tempatan pula melibatkan seorang warga Malaysia yang diuji positif ketika proses saringan sebelum pembedahan di Kuala Lumpur.

Satu-satunya kes jangkitan tempatan melibatkan warga asing pula dikesan ketika saringan sebelum pelepasan ke luar negara.

Kata Dr Noor Hisham lagi, empat lagi kes baharu hari ini adalah kes import, melibatkan tiga kes pelajar Malaysia dari Indonesia dan seorang dari Yaman.

15 kes baharu itu menjadikan jumlah kes wabak Malaysia kini 9,129.

Empat pesakit pula disahkan pulih dan dibenar keluar hospital sejak 24 jam lalu.

Ini membawa kepada jumlah terkini kes pulih sebanyak 8,821.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, dengan jumlah korban wabak kekal 125.

Kes aktif pula sebanyak 183.

Sementara itu, dua pesakit sedang dirawat dalam ICU.

Menjelaskan tentang Kluster Tawar, Dr Noor Hisham berkata kesemua sembilan kes kluster itu melibatkan ahli keluarga kes indeks.

Sehingga kini, KKM sudah menyaring 86 kontak rapat termasuk ahli keluarga, kontak rapat di hospital dan lain-lain.

21 orang disah negatif sementara 56 orang lagi masih menunggu keputusan ujian.

Sumber jangkitan sedang disiasat dan KKM juga sedang menentukan sama ada ia ada kaitan dengan Kluster Sivagangga di Napoh, Kubang Pasu.

Kluster Sivagangga pertama kali dilaporkan pada 28 Julai selepas seorang warga India dengan premit penduduk tetap Malaysia melanggar arahan kuarantin rumah selepas kembali dari India. Beliau dipenjara lima bulan dan didenda awal hari ini.

Sehingga semalam, 45 orang disahkan positif selepas menjadi kontak rapat kes indeks kluster itu.

Sehingga 11 Ogos lalu, 5,645 orang sudah disaring KKM selepas menjadi kontak rapat kes indeks atau pengunjung kedai makan itu.

Usaha pihak berkuasa melakukan penjejakan kontak rapat juga terhalang kerana kedai itu tidak menyimpan rekod pelanggannya.

Dr Noor Hisham berkata virus Kluster Sivagangga mungkin adalah jenis virus yang merebak pantas berbanding kluster lain di negara ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");