Berita Hari Ini

Koperal Polis Mengaku Tidak Bersalah Minta Suapan

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima wang suapan bernilai RM3,500 empat tahun lalu

BH Online melaporkan, tertuduh, Mohd Yusri Borhan, 34 membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Yusri didakwa melakukan kesalahan pertama iaitu meminta wang suapan bagi dirinya berjumlah RM2,000 secara bulanan daripada seorang wanita pada 16 Disember 2016 jam 7 malam.

Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis daerah Johor Bahru Selatan (IPD JBS), sebagai dorongan tertuduh yang pada waktu itu bertugas di Cawangan Pencegahan Jenayah IPD JBS untuk memberikan maklumat kepada wanita itu jika terdapat serbuan dan operasi yang dilakukan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM1,500 daripada individu yang sama pada 9 Januari 2017, jam 2.40 petang di Jalan Meldrum bagi tujuan serupa.

Pendakwaan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) B dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana mana lebih tinggi.

Hakim menetapkan RM14,000 sebagai jaminan dengan isterinya sebagai penjamin serta meminta tertuduh melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM berhampiran.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali.

Mahkamah menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");