Berita Hari Ini

Kuarantin Covid-19: Khairuddin minta tunggu jawapan KKM

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Mohd Khairuddin Aman Razali enggan mengulas panjang mengenai isu kegagalan dia melakukan kuarantin kendiri selepas pulang daripada kunjungan luar negara.

Sebaliknya anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu sekadar meminta agar wartawan yang mengemukakan soalan agar menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya sebagai seorang menteri dia akan bertanggungjawab dan akur dengan panduan dan peraturan serta arahan yang ditetapkan oleh KKM.

“Tunggu kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan tunggu saja kenyataan termasuk keputusan rasmi ujian Covid-19 KKM.

“Sebagai menteri kabinet yang bertanggungjawab, saya akan akur dengan apa jua kenyataan dikeluarkan KKM,” katanya dipetik Harian Metro.

Khairudin yang juga anggota Parlimen Kuala Nerus di Terengganu berkata demikian ketika ditemui selepas dianugerahkan Pangkat Pesuruhjaya Kehormat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di Kuala Terengganu, Terengganu, malam tadi.

Kelmarin, Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa Khairuddin gagal melakukan kuarantin kendiri 14 hari selepas pulang daripada kunjungan ke Turki.

Lebih daripada itu Khairuddin juga hadir ke Dewan Rakyat kurang dari seminggu selepas kembali.

Sumber yang dekat dengan menteri itu dilaporkan berkata Khairuddin disahkan negatif Covid-19 dan Turki telah menjadi negara zon hijau.

Bagaimanapun, untuk rekod Covid-19 mempunyai tempoh inkubasi (pengeraman) selama 14 hari, dan jumlah kes dilaporkan di Turki telah menimbulkan persoalan terhadap dakwaan Khairuddin terhadap situasi negara itu ketika beliau berkunjung ke sana.

Terdapat juga kes yang disahkan positif walaupun didapati negatif pada ujian saringan kali pertama. Sebelum ini sudah ada banyak kes dihukum denda dan penjara apabila individu yang diletakkan di bawah pengawasan gagal mematuhi perintah kuarantin wajib.

Ekoran daripada itu, pemimpin Pemuda DAP Seputeh semalam membuat laporan polis terhadap Khairuddin.

Berdasarkan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, ketuanya Diccam Lourdes Lourdhusamy, berkata dia telah membaca laporan berita berhubung dakwaan menteri terbabit ingkar arahan kuarantin dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, semalam berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan terhadap Khairuddin tersebut.

Sementara itu, diminta mengulas penutupan surau Al-Mustaqim di Kampung Banggol Pauh dan Masjid Seberang Bukit Tumbuh yang terletak di kawasan Parlimen Kuala Nerus selama tiga hari mulai semalam, sekali lagi Khairuddin enggan mengulas lanjut.

Terdahulu dia ditanya sama ada penutupan berkenaan ada kaitan dengan dirinya.

“Seeloknya tunggu kenyataan rasmi dan saya akan akur dengan apa jua keputusan yang akan diumumkan KKM,” katanya.

Khairudin juga mengesahkan dia menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");