Panasnya Hari Ini

Lawatan Pegawai Khas Politik Ke Hotel Di Kuching Bukan Arahan Saya – Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa lawatan pegawai khas politiknya ke Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak pada 2013 bukan atas arahannya.

Bernama melaporkan Mohd Isa, 71, berkata Muhammad Zahid Md Arip melawat hotel berkenaan bukan atas urusan rasmi, sebaliknya urusan peribadi untuk mengetahui keadaan politik di sana.

“Melawat MPHS adalah kerja rasmi bagi bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) Mohd Zaid Abdul Jalil, bukan kerja rasmi Muhammad Zahid. Dia (Muhammad Zahid) nak ikut (Mohd Zaid) ke Sarawak kerana nak tahu pasal politik di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada hari pertama prosiding bela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Ditanya Afzainizam, sama ada Muhammad Zahid menceritakan kepadanya mengenai politik di Sarawak sekembalinya dari Kuching, Mohd Isa menjawab: “tidak ada”.

Sebelum ini, Muhammad Zahid yang merupakan saksi pendakwaan ke-21 memberitahu mahkamah bahawa beliau memohon kebenaran Mohd Isa untuk mengikut Mohd Zaid melawat MPHS bagi melihat sama ada hotel itu mempunyai potensi pelaburan atau tidak dan selepas pulang dari lawatan itu, Muhammad Zahid telah menemui Mohd Isa bagi melaporkan hasil lawatan kerja tersebut.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan untuk mengkaji semula pembelian hotel berkenaan, Mohd Isa berkata ia arahan dan permintaan.

Afzainizam: Datuk Seri Najib beritahu perkara itu (kaji semula pembelian) melalui telefon?

Mohd Isa: Betul

Afzainizam: Setuju dengan cadangan saya bahawa Muhammad Zahid mendengar perbualan (mengenai hotel) antara Tan Sri(Mohd Isa) dengan Najib di pejabat (Felda)?

Mohd Isa: Tidak setuju kerana ketika itu saya bersama pegawai lain, bukan Muhammad Zahid.

Pada 13 Jan lepas, Muhammad Zahid memberitahu mahkamah bahawa Mohd Isa menerima arahan daripada Najib melalui telefon supaya membeli semula MPHS selepas cadangan pembeliannya ditolak Ahli Lembaga Pengarah FICSB.

Mohd Isa berdepan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai, 2014 dan 11 Dis, 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Rabu ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");