Berita Hari Ini

Letupan Beirut: Baja Ammonia Nitrat 2,750 Tan Didakwa Punca

BEIRUT: Letupan dahsyat petang semalam yang menggegarkan ibu kota ini dan mengakibatkan ribuan cedera, didakwa berpunca daripada 2,750 tan baja ammonia nitrat yang disimpan bertahun-tahun di kawasan gudang pelabuhan itu.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab, berkata baja kimia untuk pertanian itu adalah punca letupan yang membawa malapetaka kepada penduduk ibu kota yang setakat ini sudah mengorbankan lebih 70 orang.

“Siasatan menyeluruh sedang dilakukan begitu juga mengesan individu yang bertanggungjawab.

“Mereka yang didapati bersalah sehingga terjadinya malapetaka ini akan menerima balasan,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online yang memetik AFP.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sehingga kini 73 penduduk terkorban, manakala 3,700 lagi cedera dalam insiden berkenaan.

Ketua Keselamatan Awamnya, Abbas Ibrahim pula berkata, bahan mudah meletup itu sudah dirampas beberapa tahun lalu dan disimpan di gudang berkenaan yang terletak berdekatan dengan lokasi tumpuan orang ramai bagi aktiviti membeli belah dan berhibur pada waktu malam.

Majlis Pertahanan Lubnan turut mengisytiharkan Beirut sebagai zon bencana dan turut merayu negara sekutunya untuk menghulurkan bantuan dalam menangani malapetaka itu.

Kebanyakan negara dunia merakamkan ucapan takziah termasuk negara Teluk manakala Amerika Syarikat (AS) turut menawarkan penghantaran bantuan.

Keadaan hospital di ibu kota itu yang sedang bergelut untuk merawat pesakit COVID-19 bertambah sesak dengan individu tercedera akibat letupan.

Tragedi itu turut memberi kesan kepada ekonomi negara itu yang sedia terjejas.

Ekonomi Lubnan bertambah buruk sejak beberapa bulan lalu akibat kejatuhan mata wang sehingga kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup dengan kadar kemiskinan dan pengangguran terus meningkat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");