Berita Hari Ini
Like

Lima Parah Dalam Kemalangan Di Simpang Ampat

August 8, 2020
221 Views
0 Comments
1 minute read
Lima Parah Dalam Kemalangan Di Simpang Ampat

SEREMBAN – Lima cedera parah dalam satu kemalangan di kilometer 222.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan yang melibatkan empat buah kenderaan termasuk sebuah treler, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan yang berlaku pada 10.14 malam berhampiran susur keluar Simpang Ampat itu, turut membabitkan tiga buah kenderaan lain jenis Toyota Hilux, Nissan Grand Livina dan Honda Jazz.

“Maklumat penuh mereka yang mengalami kecederaan parah masih belum diperolehi. Kesemua mangsa telah dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Alor Gajah, Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Anuar Bakri berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas treler yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke arah Melaka, berada di lorong kiri lebuh raya sebelum hilang kawalan sehingga terbalik dan melintang di tengah-tengah lebuh raya itu.

“Kemudian kenderaan Honda Jazz, Toyota Hilux dan Nissan Grand Livina, yang datang dari arah yang sama, telah tidak sempat mengelak, merempuh bahagian badan treler tersebut.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan tiga penumpang Honda Jazz serta pemandu Toyota Hilux, cedera parah manakala pemandu Nissan Grand Livina dan treler itu tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, seramai sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dikerah ke lokasi kejadian, sebaik menerima panggilan kecemasan.

— BERNAMA

Komen & Pendapat

Comments are closed.