Perak Hari Ini

Maahad Tahfiz Diminta Untuk Berdaftar Supaya Mudahkan Urusan Penyaluran Bantuan – Dr Zulkifli

PARIT: Maahad tahfiz di seluruh negara diminta untuk berdaftar dengan kerajaan bagi tujuan memudahkan urusan penyaluran bantuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dengan langkah tersebut, usaha penyaluran maklumat kepada institusi-institusi tersebut turut akan menjadi mudah.

“Kita syorkan agar mereka berdaftar dengan pihak berkuasa. Ia supaya dapat memudahkan urusan untuk kerajaan mendapatkan maklumat tentang mereka.

“Ia kemudiannya akan memudahkan urusan penyaluran bantuan dan maklumat kepada maahad tahfiz yang berhak,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyeru agar pihak bertanggungjawab bersama-sama jabatan agama negeri berganding bahu dalam membantu mempertingkatkan kebajikan maahad tahfiz.

“Saya lebih berminat dengan konsep kita dapat sama-sama membantu dan tidak hanya berharap bantuan satu pihak semata-mata.

“Dalam situasi seperti ini, kita tidak boleh hanya melihat kepada satu tempat sahaja,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyerahkan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairuddin Abdu Hanipah.

Pada lawatan tersebut, Zulkifli telah menyaksikan penyerahan bantuan awal kepada maahad tahfiz tersebut sebanyak RM25,000 oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

YADIM telah menyumbang sebanyak RM5,000 sementara JAKIM menyumbang sebanyak RM20,000.

Pada 30 Julai lalu bangunan asrama lama maahad tahfiz itu dilaporkan telah mengalami kebakaran yang mana 80 peratus daripada asrama lama serta stor musnah dalam kebakaran itu manakala 10 peratus dewan, lima peratus bilik kuliah turut terbakar.

Walau bagaimanapun kesemua 115 pelajar lelaki dan lima orang guru yang berada di maahad tahfiz sempat menyelamatkan diri masing-masing sebelum api merebak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");