Berita Hari Ini

Malaysia, Singapura Perlu Perkemas SOP Sebelum Benar Perjalanan Rentas Sempadan

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura perlu memperkemas prosedur operasi standard (SOP) sebelum membenarkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara yang dikenakan sekatan sejak Mac susulan penularan pandemik COVID-19.

Bernama melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua negara perlu mempunyai persefahaman bersama selain membincangkan langkah untuk mengurang atau menangani risiko sekiranya berlaku sebarang jangkitan.

Beliau berkata Malaysia hendaklah lebih bersifat memilih untuk bertolak ansur dalam soal ini kerana dibimbangi kelak akan berlaku penularan COVID-19.

“Bagi Singapura, kita bermula bulan ini, kita boleh melaksanakannya. Bagaimanapun, kita perlu meneliti situasi yang menyaksikan data positif Singapura pada kadar 8.2 peratus (daripada 1,000 penduduk) manakala Malaysia pada kadar 0.9 peratus… kita perlu memutuskan siapa yang akan dibenarkan masuk.

“Tidak semua orang di Singapura dibenarkan masuk, kita sama sekali tidak akan membenarkan kumpulan pekerja asing di negara itu masuk. Mungkin rakyat Singapura dan ekspatriat yang tinggal di sana lebih enam bulan dibenarkan masuk,” katanya dalam webinar yang diadakan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia bertajuk ‘Malaysia: Responding to the COVID-19 pandemic’, malam tadi.

Beliau berkata Malaysia dan Singapura juga perlu meneliti situasi kedua-dua negara dan jika ia kondusif, ia boleh dilaksanakan.

Dr Noor Hisham juga berkata perbincangan dengan negara lain seperti Singapura, Brunei, Australia dan New Zealand masih berlangsung.

“Jika sebuah negara berada dalam zon merah, sebuah lagi dalam zon hijau, agak sukar untuk negara dalam zon hijau menerima pelancong negara zon merah.

“Kami perlu meneliti situasi dari semasa ke semasa. Kami lakukan secara berperingkat bagi perniagaan, sebagai contoh kami membenarkan perniagaan yang membawa maksud anda boleh masuk dan memohon, kemudian kami boleh benarkan.

“Bagaimanapun, bagi jumlah pelancong yang besar, kami tidak akan benarkan namun bagi perniagaan adalah dibenarkan… kami akan mengenakan kuarantin ke atas anda. Terdapat risiko rentas sempadan, kebimbangan kedua-dua negara tetapi perlu memperkemas SOP sebelum melaksanakannya,” katanya.

Merujuk data jumlah ujian bagi setiap 1,000 penduduk sumber Our World in Data University of Oxford setakat 3 Ogos menunjukkan Malaysia menjalankan sebanyak 30.25 ujian dan pada kadar positif 0.91 peratus; Korea Selatan sebanyak 30.47 ujian pada kadar positif 0.90 peratus, Jepun sebanyak 8.63 ujian (4.30 peratus), Thailand 5.43 ujian (0.90 peratus), Singapura 105.35 ujian (8.20 peratus), New Zealand 97.91 ujian (0.30 peratus), Kanada 109.78 ujian (2.80 peratus) dan Australia 170.45 (0.40 peratus).

“Malaysia, Korea Selatan dan Thailand mempunyai kadar 0.9 peratus yang bermakna ketiga-tiga negara berjaya membendungnya namun bukan di Singapura kerana semalam kita boleh melihat sejumlah 256 kes, jadi kes masih meningkat di luar sana dalam komuniti yang bermakna mereka perlu meningkatkan ujian.

“Lihat New Zealand yang mempunyai kadar ujian sebanyak 97.91 (bagi 1,000 penduduk), mereka amat bagus kerana kadar positif mereka sudah pun 0.3 peratus. Kanada contohnya melakukan banyak ujian namun kadar positif ialah 2.8 peratus. Berbanding kita, kita setara atau lebih baik berbanding negara lain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata terdapat banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada negara seluruh dunia dalam usaha menangani pandemik COVID-19 dan Malaysia setakat ini bertuah kerana dapat mengharungi semua ini dalam bulan-bulan mencabar tanpa sebarang kesan buruk kepada kesihatan dan ekonomi negara.

“Kesemua ini berlaku berikutan kepimpinan yang mantap dan keyakinan rakyat terhadap sains dan fakta, bukannya khabar angin dan kebimbangan,” katanya.

Turut hadir dalam webinar itu Timbalan Pengerusi EuroCham Malaysia Luciano Pezzota dan Ketua Pegawai Eksekutif EuroCham Malaysia Sven Schneider.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");