Panasnya Hari Ini

Mesyuarat Pertama Bincang Pinda Laporan Audit 1MDB

KUALA LUMPUR: Mesyuarat yang membincangkan untuk meminda Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Februari 2016, tidak akan berlaku jika mesyuarat sebelumnya di antara Datuk Seri Najib Razak dan tiga pegawai tinggi kerajaan tidak pernah berlangsung, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

BH Online melaporkan mesyuarat yang diadakan pada 22 Februari 2016 itu dihadiri Najib; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang; dan bekas Ketua Setiausaha Najib Tan Sri Shukry Salleh.

Mesyuarat pertama itu yang dipanggil oleh bekas Perdana Menteri sendiri, berlangsung di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya.

Ali berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan semula, dalam kes pindaan Laporan Pengauditan 1MDB dihadapi Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Saksi itu dalam kenyataan beliau sebelum ini, berkata Najib memaklumkan kepadanya dan Ambrin dalam mesyuarat itu bahawa beliau (Najib) tidak berpuas hati dengan kandungan Laporan Pengauditan 1MDB yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pada mesyuarat itu juga, Najib menyatakan bahawa beliau tidak mahu dua versi penyata kewangan 1MDB berbeza dikemukakan dalam Laporan Pengauditan 1MDB.

Bekas Perdana Menteri itu kemudian dikatakan berjanji untuk menyelesaikan masalah itu di mana Ambrin kemudian menyatakan kesediaan untuk menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Laporan Pengauditan 1MDB pada 24 Februari 2016.

Mesyuarat penyelarasan membabitkan wakil 1MDB dan tujuh agensi berkaitan bagi membincangkan pindaan kepada laporan pengauditan dan ia diarahkan oleh Najib sendiri.

Di akhir mesyuarat itu, empat isu dipersetujui untuk dipadamkan daripada laporan pengauditan termasuk isu dua penyata kewangan berbeza dan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low pada mesyuarat 1MDB walaupun tidak memegang apa-apa jawatan dalam syarikat.

Terdahulu Ali yang menjawab soalan pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ditanya mengenai keadaan Najib pada mesyuarat pada 22 Februari itu.

Ali bersetuju dengan kenyataan beliau pada sesi pemeriksaan utama sebelum inibahawa Najib kelihatan kecewa pada mesyuarat itu bagaimanapun menyatakan tidak mengetahui mengapa bekas perdana menteri bersikap demikian.

“Saya tidak mendapat sebarang jawapan, tiada orang beritahu saya (mengapa Najib kelihatan kecewa),” katanya.

Sementara itu, Ali berkata, beliau diberitahu oleh Najib bahawa nota percakapan akan disediakan oleh PMO untuk mesyuarat pada 24 Februari yang dipanggil beliau sendiri atas arahan Najib.

Saksi itu turut mengulangi dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah memberikan tekanan kepada Ambrin untuk membuat pindaan kepada laporan pengauditan.

Muhammad Shafee kemudian menyoal saksi mengenai kenyataan saksi lain bahawa Ambrin kelihatan keletihan dan hilang tenaga ketika meninggalkan mesyuarat penyelarasan itu.

Ali bagaimanapun menjawab, “Mesyuarat itu berakhir dalam keadaan mesra dan saya yang membawa beliau ke pintu…dia kelihatan normal.”

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");