Berita Hari Ini

Najib tarik balik permohonan semakan tangguh bicara kes SRC

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik permohonan semakannya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan perintah untuk menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd.

Peguam Najib, Nur Syahirah Hanapiah dalam satu mesej WhatsApp kepada media berkata pendengaran bagi permohonan itu, yang telah ditetapkan esok, telah dikeluarkan memandangkan pemohon (Najib) telah menarik balik notis usul beliau.

“Beliau berhak membangkitkan isu itu ketika rayuan substantif kelak,” katanya sambil menambah bahawa pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap penarikan balik permohonan itu dan untuk Najib membangkitkan isu itu ketika rayuan substantif.

Nur Syahirah berkata notis penghentian semakan itu telah difailkan pada 3 Ogos lalu.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan surat hari ini untuk memaklumkan bahawa kedua-dua pihak tidak perlu hadir esok.

Najib, 67, memfailkan permohonan itu untuk menyemak keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada 27 Mac 2019 yang mengetepikan perintah penangguhan yang diberikan kepadanya oleh Mahkamah Rayuan.

Susulan keputusan itu, Mahkamah Tinggi telah meneruskan pendengaran perbicaraan kes SRC.

Pada 11 Februari 2019, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan itu sementara menunggu rayuan beliau berhubung isu interlokutari selesai.

Pada 28 Julai lalu, Ahli Parlimen Pekan itu telah dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun selepas beliau didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau mendapat penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan berkaitan penyalahgunaan kedudukan dan 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan pecah amanah jenayah serta pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mengarahkan beliau menjalani kesemua hukuman penjara secara serentak. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");