Panasnya Hari Ini

Najib Tidak Pernah Tekan Atau Suruh Pilih Salah Satu Penyata – Saksi 1MDB

KUALA LUMPUR – Tan Sri Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau tidak pernah sesekali ditekan mahupun telah diminta untuk memilih antara dua penyata kewangan 1Malaysia Development (1MDB) oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dua penyata kewangan yang disebut oleh Ambrin yang juga merupakan bekas Ketua Audit Negara ketika Najib menjadi Perdana Menteri itu didapati bercanggah santara satu sama lain.

Malah Ambrin mengakui, Najib memberitahunya pihak berkuasa yang berkaitan akan membuat siasatan menyeluruh secepat mungkin.

Najib memberikan janji itu dalam satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Politik Najib Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Ambrin yang merupakan saksi keenam pendakwaan kes pindaan laporan audit 1Malaysia 1MDB hari ini berkata demikian ketika di soal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebentar tadi.

Shafee: Saya bertanya kepada kamu, adakah Perdana Menteri memberitahu kamu terdapat dua penyata kewangan untuk tahun sama iaitu 2014.

Adakah beliau beritahu kamu bahawa dirinya lebih suka kepada penyata A berbanding dengan B?

Ambrin: Tidak. Tidak. Beliau tidak berkata seperti itu.

Shafee turut bertanya seandainya ada pihak lain mewakili Najib seperti pegawai tertinggi kerajaan mendesak atau menekannya bagi beliau melakukan sebarang pindaan laporan audit tersebut.

Bagaimanapun Ambrin menafikan sebarang insiden seperti itu.

“Tidak pernah ada apa-apa tekanan atau paksaan,” ujarnya.

Tambah Ambrin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak melakukan apa-apa ugutan mahupun tekanan ketika kenyataanya diambil berhubung pindaan laporan audit itu.

Dalam pertemuan itu, Najib meminta Ambrin menjelaskan isu ketara dan serius dalam Laporan Pengauditan Akhir 1MDB.

Menurut Ambrin, beliau kemudian membangkitkan isu dua penyata kewangan 1MDB yang berbeza bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014.

Difahamkan perbezaan itu membabitkan satu versi yang dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyatakan bahawa 1MDB sudah menggunakan dana yang diperoleh daripada pelaburan untuk membayar hutang syarikat dan digunakan untuk modal kerja.

Satu lagi versi ialah penyata kewangan yang dihantar kepada Kementerian Kewangan, Deustche Bank dan Ambank yang menyatakan bahawa dana diperoleh daripada pelaburan masih lagi dalam simpanan 1MDB.

Sebelum ini, Ambrin pernah mendedahkan pada 23 Februari 2016, beliau diarahkan Ali untuk hadir mesyuarat bersama pasukan khas audit 1MDB di pejabat KSN bagi membincangkan mengenai laporan akhir audit dan isu berkaitan.

Mesyuarat yang diadakan pada 24 Februari itu dihadiri Ali; wakil Pejabat Peguam Negara, Datuk Dzulkifli Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Sri Dr Isa Hussain; wakil Kementerian Kewangan, Asri Hamidon.

Selain itu, yang turut serta ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, 1MDB, Arul Kanda Kandasamy; Setiausaha Sulit Kanan KSN, Datuk Norazman Ayob; dan Shukry. -MalaysiaGazzate

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");