Berita Hari Ini

Nenek rugi lebih RM250k akibat ‘phone love scam’

Seorang warga emas di bandar raya ini berputih mata apabila kerugian sebanyak RM257,172 selepas ditipu sindiket penipuan Phone Love Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor ACP Mohd Salleh Abdullah berkata wanita tempatan berusia 68 tahun itu mendakwa mengenali seorang lelaki tempatan yang kononnya bekerja di Amerika Syarikat menerusi laman sosial Facebook, kira-kira tiga tahun lepas.

Beliau berkata suspek berjanji ingin mengahwininya dan mendakwa telah menghantar wang tunai sebanyak USD750,000 menerusi ejen penghantaran wang bagi tujuan pembelian rumah dan kenderaan untuk mangsa.

Menurutnya, mangsa kemudian dihubungi oleh seorang individu yang menyamar sebagai ejen berkenaan dari Kuala Lumpur dan telah meminta mangsa untuk membuat pembayaran sebanyak RM300,000 sebagai yuran proses kastam dan cukai penghantaran wang.

“Pada mulanya mangsa tidak merasa curiga kerana suspek memberitahu akan menghantar kembali wang sebanyak USD300,000. Ekoran daripada itu wanita itu telah melakukan lapan transaksi sejak 11 Julai lepas, sehingga duitnya tidak mencukupi,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Salleh berkata wanita berkenaan mulai curiga setelah suspek meminta untuk menjelaskan bayaran sebelum mengambil keputusan untuk membuat laporan di Balai Polis Sentral di Johor Bahru semalam.

Beliau berkata wanita berkenaan yang tidak bekerja itu telah membuat transaksi menggunakan wang simpanan mendiang suaminya selain meminjam daripada rakan-rakan.

Justeru, Mohd Salleh menasihati orang ramai supaya lebih peka dan berhati-hati dengan kumpulan sindiket seumpama itu.

“Seharusnya masyarakat menyemak terlebih dahulu dengan pihak polis sekiranya mengalami kes sebegini sebelum membuat sebarang transaksi yang meragukan,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");