Berita Hari Ini

Nilai moratorium bayaran balik pinjaman setakat 24 Julai berjumlah RM62.8 bilion

NILAI moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan sejak berkuat kuasa pada 1 April, 2020 sehingga 24 Julai, 2020 dianggarkan berjumlah RM62.8 biion.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata daripada jumlah itu, RM21.9 bilion telah dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala nilai yang dimanfaatkan oleh rakyat pula berjumlah RM40.8 bilion.

Beliau berkata demikian menerusi Facebook semasa membentangkan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-15 mengenai Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) hari ini.

Moratorium pinjaman secara menyeluruh itu dijadualkan berakhir pada 30 Sept ini.

Beliau berkata pada 29 Julai lepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan lanjutan moratorium selama tiga bulan lagi sehingga 31 Dis serta bantuan bank bersasar.

“Bantuan ini adalah berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan, iaitu individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, serta individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat Covid-19,” katanya.

Tengku Zafrul berkata di samping itu, institusi perbankan juga telah memberikan komitmen untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana, sama ada peniaga, penjaja atau yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat Covid-19.

Beliau berkata lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu diharapkan dapat membantu individu yang masih terkesan untuk keluar daripada krisis kewangan, menyokong perniagaan yang terjejas untuk meneruskan operasi dan seterusnya melonjakkan semula ekonomi negara. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");