Berita Hari Ini

Noor Hisham: Polis masih siasat kes Khairuddin

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali masih disiasat oleh polis, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam ciapan balas terhadap pengguna Twitter, Noor Hisham mengatakan RM1,000 adalah denda maksimum kerana melanggar kuarantin rumah.

“Pun begitu PDRM sedang menjalankan siasatan susulan laporan polis,” katanya.

Sementara itu, peguam berpendapat bahawa Anggota Parlimen Kuala Nerus itu masih boleh didakwa di mahkamah walaupun dilaporkan telah membayar kompaun RM1,000 kerana tidak melakukan kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara.

Khairuddin seharusnya menjalani kuarantin di rumah selepas kembali dari Turki pada 7 Julai, tetapi sebaliknya menghadiri di beberapa acara termasuk sidang parlimen pada 13 Julai.

Peguam New Sin Yew, Samantha Chong, dan Haniff Khatri Abdullah berpendapat bahawa Khairuddin boleh didakwa untuk setiap kali dia melanggar kuarantin.

“Secara teknikal, setiap kali dia meninggalkan rumah (adalah suatu kesalahan),” kata New kepada Malaysiakini.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebelum ini berkata, Khairuddin telah menghadiri sekurang-kurangnya 12 program dan acara sejak pulang dari Turki 7 Julai lalu.

Lokasi yang terlibat termasuk Parlimen (13, 14, dan 16 Julai), Jasin (15 Julai), Jabatan Perdana Menteri (18 Julai), Kuala Nerus (18 Julai), Setiu (18 Julai), Pantai Penarak, Terengganu ( 18 Julai), dan Pulau Duyong (10 Julai 19).

Sebelum ini pemilik restoran yang mempunyai kaitan dengan Kluster Sivagangga juga didenda RM1,000 pada 23 Julai sebelum didakwa di mahkamah pada 13 Ogos dan didenda RM12,000 dan dipenjara lima bulan.

Nezar Mohamed Sabur Batcha didakwa atas empat tuduhan melanggar kuaranti dalam empat kejadian yang berbeza.

Menurut Haniff, ada kemungkinan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin untuk menutup semua kesalahannya.

Namun, tegasnya, tindakan itu adalah salah.

“Dalam kes Khairuddin, penting untuk mendedahkan kandungan kompaun untuk pemerhatian orang ramai.

“Sekiranya kompaun ini hanya untuk kesalahan tertentu iaitu berada di Dewan Rakyat pada 13 Julai, maka pihak berkuasa masih harus mendakwanya. Pelanggaran berulang kali seharusnya didakwa di mahkamah,” katanya.

Dengan memberi contoh pemandu mabuk, Chong mengatakan, di bawah undang-undang Malaysia, seseorang yang mabuk yang memandu dengan berbahaya selama dua minggu boleh dibicarakan di mahkamah untuk setiap pemanduan mabuk tanpa mengira sama ada kecederaan berlaku atau tidak.

Kata Chong, perkara sama juga diambil kira bagi kuarantin wajib.

“Menteri itu melanggar perintah kuarantin setiap kali menghadiri suatu majlis. Oleh itu, harus ada tuduhan dan hukuman yang berasingan untuk setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Sementara itu, dia juga berkata tidak jelas apakah ada kertas siasatan yang dibuka mengenai kes berkenaan dan mempersoalkan kenapa Khairuddin tidak dihadapkan ke mahkamah seperti Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali sebelum ini.

Noor Azmi disiasat kerana melanggar perintah kawalan pergerakan setelah dia menyiarkan beberapa gambar dalam talian yang menunjukkan dia dan rombongannya mengunjungi sebuah sekolah agama di Lenggong, Perak pada 17 April.

Dia didenda RM1,000 oleh mahkamah.-MalaysiaKini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");