Berita Hari Ini

P Pinang laksana SOP lebih ketat berikutan kes baru Covid-19

Kerajaan Pulau Pinang mengambil langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan kes Covid-19 setelah lebih tiga bulan negeri itu tidak merekodkan sebarang kes baru.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan semalam berkata, beberapa langkah telah diambil susulan kes terbaru yang direkodkan pada 14 Ogos lalu di Teluk Kumbar.

Pulau Pinang kini mencatatkan tujuh kes positif Covid-19.

Beberapa tindakan diambil terhadap kawasan terlibat bermula dari persimpangan jalan Sekolah Kebangsaan Sungai Batu – Jalan Teluk Kumbar hingga ke persimpangan lampu isyarat Puspakom dan Kampung Tengah termasuk kawasan sekitar Gertak Sanggul.

MBPP turut mengumumkan aktiviti pasar malam Teluk Kumbar pada setiap Selasa dan pasar malam Sungai Batu pada setiap Khamis tidak dibenarkan beroperasi buat semetara waktu.

Sementara itu, pasar pagi di Taman Sahabat masih boleh terus beroperasi tetapi akan ditutup  jika berlaku sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Aktiviti ‘dine in’ juga tidak dibenarkan bagi semua penjaja.

MBPP juga berkata pemantauan SOP terhadap restoran atau gerai makanan akan ditingkatkan dan penutupan akan dibuat sekiranya SOP tidak dipatuhi.

Begitu juga, pemantauan terhadap SOP kedai gunting rambut dan salun kecantikan juga akan ditingkatkan oleh pihak berkuasa tempatan.

MBPP turut mengumumkan penutupan sementara dua taman permainan iaitu Taman Poket Teluk Kumbar dan Tanah Lapang Pasir Belanda.

Sementara itu, The Star melaporkan 59 anggota pasukan perubatan dari Penang Adventist Hospital (PAH) terpaksa dikuarantin setelah mempunyai kontak langsung dengan seorang pesakit dari Kulim, Kedah, yang mendapatkan rawatan di sana.

Menurut laporan itu, dua doktor dan 57 jururawat diarah menjalani kuarantin di rumah setelah wanita berusia 56 tahun itu diuji positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif PAH, Ronald Koh dilapor mengesahkan bahawa kakitangan hospital berkenaan telah menjalani ujian Covid-19 dan kini berada dalam pengawalan ketat di rumah.

“Kami tutup wad, dengan pembersihan dan pembasmian kuman selesai.

“Kami juga menutup hospital sementara dan akan kembali beroperasi esok,” kata Koh, seperti dipetik oleh The Star.

Pada 7 Ogos, pesakit dari Kulim berkenaan dilaporkan dimasukkan ke PAH akibat jangkitan luka pada kaki dan tidak bergejala.

Menerusi penjejakan kontak, pesakit tersebut dikenalpasti sebagai kontak rapat dan kakak ipar kepada kes indeks bagi kluster Tawar di Kedah dan segera dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang, di mana dia didapati positif Covid-19 pada Khamis.

Kluster Tawar melibatkan individu yang menghadiri upacara memperingati kematian ahli keluarga mereka yang diadakan dari 31 Julai hingga 1 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan Pulau Pinang mempunyai dua lagi kes baru, yang juga berkaitan dengan kluster Tawar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");