Berita Hari Ini

Pakar bimbang isu privasi, aksesibiliti untuk wajib penggunaan MySejahtera

PETALING JAYA: Pakar keselamatan data menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera bagi menjejaki pergerakan rakyat.

Fong Choong Fook, pakar teknologi maklumat dalam pengujian keselamatan aplikasi untuk jenama e-dagang dan bank tempatan utama mempersoalkan kerajaan jika ia sudah melakukan ujian meluas terhadap keselamatan aplikasi itu.

Beliau mengakui tidak dapat dielakkan kerajaan mewajibkan penggunaan aplikasi itu untuk pengesanan kontak dalam konteks pandemik Covid-19.

“Kadangkala rakyat tidak bersedia mengisi borang (dengan maklumat mereka), jadi penting untuk pihak berkuasa (mempunyai) aplikasi pengesanan.

Fong Choong Fook

“Apa yang dilakukan kerajaan dalam melindungi maklumat peribadi kita? Setakat ini, PDPA yang kita ada tidak mentadbir kerajaan sendiri,” katanya merujuk Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

Jadi, kerajaan mungkin tidak bertanggungjawab terhadap kebocoran data kerana kecuaian lapor FMT.

“Kita tidak boleh melakukan apa-apa terhadap kerajaan, itulah batasan PDPA.”

Fong mahu melihat kerajaan menunjukkan sejauh mana ia melaksanakan langkah keselamatan untuk melindungi data rakyat.

“Saya rasa nant rakyat akan lebih mudah menerima penggunaan aplikasi ini.”

Foong Cheng Leong

Sementara itu, seorang peguam privasi, Foong Cheng Leong berkata kerajaan perlu memastikan data yang dikumpulkan hanya akan digunakan untuk pengesanan kontak dan tujuan berkaitan.

Beliau juga kerajaan menetapkan tempoh untuk melupuskan data dikumpulkan.

Foong mahu ada pihak yang bertanggungjawab jika berlaku penyalahgunaan data oleh sesiapa pun, termasuk penjawat awam.

Beliau turut membangkitkan isu aksesibiliti aplikasi itu kerana bukan semua orang memiliki telefon pintar yang mempunyai aplikasi MySejahtera.

Katanya, bukan semua perniagaan di Malaysia dapat menghasilkan kod QR untuk digunakan aplikasi itu.

“Pendaftaran secara manual perlu dikekalkan untuk rakyat dalam segmen tertentu.

“Daripada memaksa rakyat menggunakannya, kerajaan perlu memberi insentif kepada mereka yang menggunakan aplikasi itu. Kredit e-dompet RM50 untuk pengguna ialah langkah baik.”

Azrul Mohd Khalib

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib menyifatkan mewajibkan penggunaan aplikasi pengenalan tunggal bagi semua rakyat wajar untuk memastikan mereka sedar dan terus berjaga-jaga terhadap penularan Covid-19.

Bagaimanapun, kelemahannya ialah ia mungkin meminggir dan menjadikan individu tidak mampu memiliki telefon mudah alih atau data internet sebagai “mangsa”, khasnya rakyat berpendapatan rendah.

“Mereka yang mempunyai telefon (khasnya orang tua) mungkin tidak tahu jenis aplikasi yang boleh dimuat turun. Mereka tidak dapat memasuki tempat seperti kedai, pasar, pejabat dan perkhidmatan kerajaan. Mereka mungkin didakwa di bawah undang-undang kerana tidak memiliki aplikasi itu.”

Oleh itu, Azrul menggesa kerajaan berusaha meningkatkan kesedaran mengenai aplikasi itu supaya rakyat akan menyokong penggunaannya, bukannya memaksa mereka memuat turunnya.

Beliau turut bersetuju PDPA tidak cukup untuk memastikan kebertanggungjawaban ke atas pelanggaran data kerana ia mengecualikan entiti kerajaan persekutuan atau negeri daripada mematuhi undang-undang itu.

“Oleh itu, kerajaan perlu menjelaskan undang-undang apa melindungi data diambil oleh MySejahtera. Ini kebimbangan sah kerana terdapat beberapa pelanggaran data yang besar sejak tahun lalu, termasuk maklumat pesakit.”

Kerajaan dilaporkan berkata, ia mempertimbangkan penggunaan aplikasi MySejahtera diwajibkan dan pendaftaran manual data peribadi ketika rakyat memasuki tempat awam akan disingkirkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Redzuan Md Yusof berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara dan Majlis Keselamatan Negara mengenai kaedah melaksanakan langkah itu.

Katanya, aplikasi MySejahtera sebahagian daripada budaya baru yang diperkenalkan kerajaan untuk memastikan rakyat mematuhi SOP bagi membendung penularan Covid-19.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");