Panasnya Hari Ini

Pembangkang Bimbang Aktiviti ‘Beli’ Wakil Rakyat

KUALA LUMPUR – Wakil pembangkang hari ini menyatakan kebimbangan dengan perkembangan terkini politik tanah air yang mungkin boleh mendorong pihak luar campur tangan dalam pentadbiran negara.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) berkata, ia susulan tindakan pihak tertentu ‘membeli’ wakil rakyat bagi menguasai Putrajaya.

“Lebih membimbangkan sekarang jika wakil rakyat boleh dijual beli. Ada bilionair antarabangsa boleh menguasai Malaysia.

“Peruntukan untuk membeli seorang wakil rakyat katalah, RM30 hingga RM40 juta, bagi seorang bilionair luar negara itu jumlah yang kecil.

“Hanya cukup mencari 112 orang wakil rakyat dia sudah dapat kuasai Malaysia. Tidak kira sama asa kerajaan atau pembangkang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu turut berkata, melihat akan perkembangan tidak sihat itu, satu laporan polis juga telah dibuat bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil memetik Sinar Harian.

Katanya, jika benar dakwaan itu wujud, ia bakal mendatangkan bahaya kepada negara pada masa akan datang kerana ada pelobi antarabangsa berminat menguasai ahli Parlimen dan seterusnya menguasai kerajaan.

“Inilah yang kita bimbang apabila mandat rakyat tidak dihormati,” katanya.

Beliau turut memberi contoh kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) awal tahun lalu berpunca daripada gerakan pihak tertentu.

Katanya, antara gerakan yang dilakukan itu termasuk menimbulkan isu perkauman iaitu mewujudkan kerajaan tanpa DAP.

Dakwaan Mohamad itu bagaimanapun menimbulkan situasi kurang senang dalam kalangan ahli Parlimen blok kerajaan.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bangkit mencelah dengan mengatakan kejatuhan PH disebabkan tindakan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

“Kalau Tun (Dr Mahathir) tidak letak jawatan, kerajaan tidak bertukar, jadi jangan tuduh bukan-bukan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");