Berita Hari Ini
Like

Peniaga Kecil, Penjaja Sungai Buloh Dibenar Berniaga Semula

August 15, 2020
217 Views
0 Comments
4 minutes read
Peniaga Kecil, Penjaja Sungai Buloh Dibenar Berniaga Semula

SUNGAI BULOH: Seramai 80 peniaga di Bandar Baru Sungai Buloh kini boleh menarik nafas lega apabila dibenarkan menjalankan semula perniagaan masing-masing selepas diberikan permit penjaja sementara, hari ini.
Ia susulan Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang memberi peluang kepada mereka untuk membuat permohonan permit penjaja sementara serta mendapat penerangan mengenai peraturan yang perlu dipatuhi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata program berkenaan diadakan untuk membantu khususnya peniaga di Bandar Baru Sungai Buloh yang terjejas susulan operasi bersepadu yang dijalankan MBSA, Rabu lalu.

Menjelaskan perkara itu, Khairuddin berkata MBSA akan membantu peniaga kecil dan peniaga untuk meneruskan perniagaan mereka dengan mempunyai permit sementara selain menyediakan tapak niaga yang bersesuaian dan mengikut peraturan.

“Fokus kita adalah memberikan kefahaman kerana masih ada lagi peniaga kecil yang masih berasa bimbang dan takut untuk mendekati MBSA sedangkan MBSA sebenarnya mahu membantu tetapi barangkali mereka ini tidak mempunyai maklumat yang lengkap.

‘Jadi menerusi program ini diharap dapat memberikan kefahaman kepada mereka dan sekali gus membantu khususnya peniaga yang terkesan di Bandar Baru Sungai Buloh, iaitu sekitar 80 peniaga mendapat permit sementara hari ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu turut menghadiri Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh lapor BH Online.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim dan Pengerusi Jawatan kuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata pihak MBSA turut akan membantu mencari lokasi tapak niaga yang sesuai dan ia menjadi satu cabaran kerana lokasi terbabit kini kekurangan tapak yang besar.

“MBSA akan bantu mereka dan kita akan bincang dengan mereka (MBSA) berhubung lokasi tapak.

“MBSA ada mencadangkan beberapa lokasi tetapi kita akan tanya kepada peniaga terlebih dahulu berhubung kesesuaiannya dan akan dibantu oleh persatuan peniaga.

“Buat waktu ini kita beri permit sementara dan benarkan mereka berniaga dulu dengan premis sementara itu sementara kita mencari jalan bagaimana kita mahu susun semula kedudukan peniaga ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya rancangan mendirikan sebuah arked perniagaan yang boleh membuatkan lebih 200 peniaga kecil yang dicadangkan sejak 2015 akan diteruskan dan kini dalam proses menunggu pewartaan tapak.

Menurutnya, projek pembinaan arked berkenaan jika dapat dimulakan dalam masa terdekat, akan dapat disiapkan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi dan dapat menyediakan 200 hingga 300 lot kedai dalam bangunan bertingkat.

Ketika mengulas mengenai perniagaan yang dijalankan warga asing, beliau berkata pihaknya meminta persatuan peniaga memainkan peranan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu untuk diambil tindakan.

Difahamkan, lebih 15 premis perniagaan di Sungai Buloh dan Paya Jaras yang dijalankan oleh warga asing sudah disita sejak kerajaan negeri mengarahkan penguatkuasaan ke atas perniagaan warga asing sejak Jun lalu.

Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh oleh MBSA itu diadakan selama dua hari bermula hari ini dan bertujuan memberikan taklimat dan penerangan berhubung permit penjaja sementara, permohonan tambahan pindaan seperti sengkuap (awning), binaan pemisah (partition) dan sebagainya.

Pada program hari ini, kira-kira 300 peniaga dan penjaja dari sekitar daerah Sungai Buloh dan daerah berhampiran turut hadir mendengar taklimat yang diberikan sebelum berurusan di kaunter yang disediakan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.