Perak Hari Ini

Perak Galak Rakyat Usahakan Kebun Komuniti

IPOH: Kerajaan Perak menggalakkan rakyat untuk mengusahakan kebun komuniti di setiap kawasan masing-masing khususnya di tapak atau tanah terbiar yang tidak mempunyai pemilik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata ianya digalakkan selagi mana ia tidak dilaksanakan atas tujuan komersial.

Exco Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi menyempurnakan acara penanaman ‘pokok merdeka’ sebagai gimik pelancaran program.

“Sememangnya memperluaskan kebun komuniti di seluruh negeri adalah antara agenda di peringkat kerajaan tempatan di Perak.

“Malah ianya selari dengan hasrat Menteri Besar Perak yang mahu rakyat menyahut cabaran mencari tapak yang kosong untuk dibangunkan tapak pertanian komuniti.

“Besar atau kecil tapak itu, ia boleh diusahakan melalui kaedah-kaedah pertanian yang bersesuaian seperti pertanian menegak, pertanian moden, hidroponik, dan sebagainya,” katanya.

Walau bagaimanapun, jelas beliau individu atau pihak yang mahu mengusahakan kebun komuniti harus mendapatkan maklumat lanjut berkenaan tapak yang dicadangkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

Katanya mereka boleh merujuk sama ada kepada PBT atau Pejabat Tanah dan Daerah bagi mengenal pasti tanah yang boleh dijalankan aktiviti kebun komuniti.

“Inisiatif ini boleh dimulakan pada bila-bila masa malah kerajaan negeri sudah menyarankannya. Ia merupakan hasrat Menteri Besar Perak bagi memperluaskan lagi aktiviti pertanian khususnya di peringkat isi rumah.

“Namun ianya tetap bergantung kepada kebolehgunaan tanah. Kita akan syorkan kepada PBT untuk melihat sama ada tanah itu boleh diguna pakai dari segi hak milik dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Merdeka Zon Pasir Pinji dan Pelancaran Kebun Komuniti di Pusat RELA Pasir Pinji, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin serta Pengerusi Syarikat Puncak Emas Infra Sdn Bhd, Datuk Abu Bakar Said.

Sementara itu, seorang pengusaha kebun komuniti di Pasir Pinji, S. H. Chin, 73 meluahkan rasa gembira kerana kerajaan negeri menyambut baik usahanya itu.

Dia yang mengusahkan sebidang tanah di sini sejak lima tahun lalu telah menanam pelbagai jenis sayuran antaranya cili, kacang botol, kailan, dan kacang bendi.

“Pemilik telah membenarkan saya mengusakan kebun komuniti di atas tanahnya. Pemilik tidak mempunyai masalah kerana saya turut menjaga kebersihan tanahnya itu,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Datuk Bandar Ipoh berkata bagi tempoh Januari sehingga 6 Ogos, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah membersihkan 1,672 lokasi sampah haram yang melibatkan longgokan seberat 6,999.25 tan.

Rumaizi berkata, bagi tempoh sama sebanyak 541 kompaun berjumlah RM 438,600 turut telah dikeluarkan MBI.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");