Perak Hari Ini

Perak Sedia Peruntukan Khusus Bantu Gerak Kerja Awal Penubuhan Persatuan Belia

IPOH: Kerajaan Perak memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membantu gerak kerja awal penubuhan persatuan-persatuan yang baharu ditubuhkan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata dengan inisiatif tersebut kerajaan negeri menyasarkan penubuhan 170 buah persatuan belia baharu menjelang hujung tahun ini.

“Baru-baru ini, di bawah portfolio saya kita telah melancarkan Program Pemerkasaan dan Peremajaan Belia Perak.

“Di bawah usaha ini, mana-mana persatuan belia baharu ditubuhkan dan ingin menjalankan gerak kerja, kerajaan negeri akan menyediakan sedikit peruntukan.

“Khususnya apabila ia melibatkan urusan menjalankan mesyuarat penjana sehingga ke mesyuarat agung penubuhan persatuan terbabit,” katanya.

Jelas beliau antara kriteria yang perlu dipatuhi pemohon ialah 50 peratus daripada jawatankuasa persatuan baharu itu terdiri daripada individu yang berumur 30 tahun ke bawah.

Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata dalam aspek pengupayaan belia, Kerajaan Perak berada pada peringkat akhir bagi mewujudkan program yang dipanggil ‘Warung Rider’.

Katanya usaha tersebut mampu memberi peluang pekerjaan dan manfaat kepada 480 belia di seluruh negeri ini.

“Peserta ‘Warung Rider’ ini tidak hanya terlibat dengan perkhidmatan penghantaran makanan semata-mata malah urusan penghantaran barangan lain juga disediakan.

“Kita akan memperuntukkan 20 ‘rider’ atau penghantar di setiap kawasan parlimen di Perak,” ujarnya lagi.

Terdahulu, beliau yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri di Kompleks Belia dan Sukan Perak, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, serta Presiden MBN Perak, Aswanuddin Harifuddin.

Pada majlis tersebut turut disampaikan Anugerah Khas Belia Negeri Perak kepada lapan penerima dan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri kepada enam penerima.

Norfarrah Syahirah Shaari, 32, dinamakan sebagai penerima Anugerah Wira Belia COVID-19, Wira Tidak Didendangkan yang mana ia merupakan anugerah yang julung kali diperkenalkan.

Anak jati Sungai Sumun, Bagan Datuk itu merupakan orang kelainan upaya (OKU) menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) dengan menggunakan kaki kerana tidak mempunyai tangan.

Sementara itu, Mohd Faqrul Redza Tahiruddin dan Wan Khatijah Shavouroza Mior Idris masing-masing dinobatkan sebagai Johan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");