Berita Hari Ini

PKPD: 11 laluan tikus ditutup sekitar Amanjaya SP

Polis menutup 11 laluan tikus di sekitar Amanjaya, di Sungai Petani selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran (PKPD) di kawasan terbabit melibatkan tiga zon bermula tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata langkah itu bagi mengawal pergerakan penduduk di kawasan berkenaan supaya mereka mematuhi perintah berkenaan sekali gus tidak tercicir daripada membuat saringan.

“SJR (sekatan jalan raya) kita ada empat lokasi di tiga zon ini (Zon Kenanga, Mawar dan Melur), kita nak putuskan hubungan, kita tidak mahu orang di kawasan dikenakan PKPD ini keluar kawasan, yang di luar pun tidak boleh masuk,” katanya kepada pemberita semasa meninjau SJR di kawasan perumahan Ambangan Heights, Amanjaya di Sungai Petani semalam.

Adzli meminta penduduk di kawasan terbabit mematuhi perintah itu dengan penuh sabar dan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana orang yang cuba melanggar arahan berkenaan demi keselamatan semua.

Adzli berkata seramai 119 anggota dan pegawai polis terlibat dalam penugasan mengawal lalu lintas berkenaan untuk memastikan penduduk di situ tidak mengingkari arahan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata ada keadaan tertentu dibenarkan atas pertimbangan polis sekiranya terdesak misalnya mendapatkan perkhidmatan penghantar barang namun tidak sewenang-wenangnya penduduk boleh mengambil kesempatan terhadap pertimbangan itu.

Adzli berkata seramai 25 warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda termasuk anggota dan pegawai polis yang tinggal di kawasan terlibat diberikan pengecualian bertugas.

Selain itu, katanya, penduduk terlibat disarankan supaya menghubungi hotline Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah yang beroperasi 24 jam sekiranya menghadapi apa jua masalah termasuk berkaitan keperluan makanan sekali gus dapat memudahkan semua urusan mereka.

Dalam sidang media kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata PKPD itu membabitkan 22,360 isi rumah di tiga zon tersebut dan mereka akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");