Berita Hari Ini

Polis buat aduan kerana Asri Janggut dakwa nyawa terancam, kata menteri

POLIS membuat aduan mengenai pendedahan kegiatan mesin judi haram dan rokok seludup di Sungai Buloh kerana lelaki yang mendedahkannya Asri Abdul Hamid atau Asri Janggut turut mendakwa keselamatannya terancam, kata Hamzah Zainuddin.

Menteri Dalam Negeri berkata polis bukannya menafikan pendedahan mengenai jenayah yang tular di media sosial, sebaliknya kenyataan pengadu mengenai kemungkinan nyawanya diancam adalah serius.

“Tindakan (membuat aduan polis) terpaksa kita ambil kerana Asri sendiri ada menuduh (pendedahan) beliau nanti jadi masalah kepada dirinya.

“Jadi membuat tuduhan seperti itu, ia menimbulkan perkara lebih sulit kerana menuduh sesuatu tentang diri sendiri… keselamatan diri dia, keselamatan utama maka sebab itu pada mulanya polis terpaksa memgambil tindakan (membuat aduan),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Hamzah bercakap kepada wartawan selepas pertemuannya dengan Asri untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu yang kini sudah dibuka untuk siasatan oleh agensi anti rasuah dan pasukan polis.

Pertemuan itu berlangsung lebih kurang sejam, dan menyusul selepas pertemuan Asri dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador di Bukit Aman.

Hamzah kemudian meminta Asri membawanya meninjau kawasan di sekitar Sungai Buloh yang didakwa menjadi pusat perjudian mesin kuda.

Dalam pendedahannya melalui rakaman video yang dipaparkan di Facebook, pengasas perniagaan Hot Burger Malaysia itu mendakwa pihak berkuasa memejam sebelah mata terhadap kegiatan kedai judi dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.

Beliau hairan kenapa aduannya kepada pihak polis sebelum ini tidak diambil tindakan, sebaliknya aduan beliau bocor kepada sindiket perjudian.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan nyawanya terancam susulan membuat pendedahan secara terbuka terhadap pihak berkuasa.

Abdul Hamid semalam berterima kasih kepada Asri kerana pendedahannya. Melalui laporan media semalam, Ketua Polis Negara juga menjanjikan tindakan tegas segera, termasuk ke atas pihak berkuasa yang bersekongkol.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar bagaimanapun menafikan dakwaan dalam pendedahan itu, yang dikatakannya memfitnah pihak berkuasa dan menjatuhkan reputasi pasukan polis.

Beliau memaklumkan satu laporan polis juga dibuat terhadap Asri.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga mendakwa pendedahan Asri bersifat fitnah.

Awal hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan ia sedang bekerjasama dengan pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kemungkinan rasuah bagi melindungi kegiatan jenayah di sekitar Sungai Buloh.

Bukit Aman juga dipetik mengesahkan sudah memulakan siasatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");