Perak Hari Ini

Polis Lupus Dadah Bernilai Lebih RM1.04 Juta

IPOH- Polis Perak melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM1,042,772 hasil rampasan membabitkan sebanyak 3,153 kertas siasatan sejak tahun 1999 bagi kes-kes yang telah selesai perbicaraan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, pelupusan berkenaan dilakukan dengan menghantar kesemua dadah kepada Syarikat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn.Bhd., Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Katanya, pelupusan tersebut melibatkan dadah jenis heroin seberat 7,720.62 gram, ganja seberat 8,586 gram, syabu seberat 1,428.22 gram, ketamin seberat 107.60 gram, esctacy/yaba seberat 76.70 gram, pil khayal seberat 16.45 gram, eramin 5 seberat 120.45 gram, daun ketum seberat 1,938 gram, cecair ketum sebanyak 3,471.84 liter, ubat batuk sebanyak 41,000 ml, monoacetylmorphine seberat 9.40 gram, heroin monoacetylmorphine seberat 3.192 gram dan lain-lain jenis dadah seberat 88.38 gram.

“Kesemua eksibit berkenaan adalah hasil daripada serbuan dan rampasan yang telah dilakukan, serta telah pun selesai proses perbicaraan mahkamah.

“Kesemua 15 buah daerah terlibat dengan pelupusan dadah pada tahun ini iaitu Ipoh, Taiping, Manjung, Hilir Perak, Tapah, Kuala Kangsar, Batu Gajah, Sg. Siput, Muallim, Kampar, Gerik, Kerian, Pengkalan Hulu, Selama dan Perak Tengah,” katanya dalam satu sidang media semasa Majlis Perlupusan Barang Kes Narkonik di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner (ACP), Lee King Chuan.

Dalam pada itu katanya, bagi pengurangan bekalan dadah, permintaan memiliki dadah dan urin positif, seramai 7,904 orang telah diambil tindakan bermula dari Januari hingga Julai 2020.

“Bagi tindakan pembanterasan ke arah pengurangan bekalan dadah iaitu tindakan dibawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 seramai 1,693 orang telah diambil tindakan.

“Pembanterasan ke arah pengurangan permintaan memiliki dadah iaitu tindakan dibawah Seksyen 12(2), Seksyen 9, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) dan Seksyen 9 Akta Racun 1952 seramai 4,386 orang telah diambil tindakan.

“Manakala, pembanterasan ke arah pengurangan urin positif iaitu tindakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 seramai 1,825 orang telah diambil tindakan,” katanya.

Tambah beliau, bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 juga sebanyak 3,551 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 3,241 kertas siasatan telah dituduh iaitu pencapaian sebanyak 91%,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");