Perak Hari Ini

Polis Perak Tahan Lelaki Miliki 15 Bungkusan Teh Mengandungi Dadah

IPOH: Polis Perak berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah yang dibungkus dalam bungkusan minuman teh Cina.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, dalam kejadian pada Sabtu lalu, polis merampas dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan seberat 16,424.54 gram dalam serbuan di kawasan berhampiran Jalan Medan Ipoh, di sini.

Katanya ketika ditahan, sebanyak 15 bungkusan minuman teh Cina yang mengandungi dadah diletakkan suspek yang berumur 36 tahun itu dalam sebuah beg dibawa bersamanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan dadah yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina itu adalah sebagai taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya lagi, dadah berkenaan dipercayai diperolehi luar Perak dan ia boleh diedarkan kepada 164,000 orang di Bandaraya Ipoh dan sekitarnya.

“Nilai keseluruhan dadah dan wang yang dirampas adalah RM656,800. Turut disita sebuah kereta Toyota HRV miliknya yang bernilai RM80,000,”katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berasal dari Kedah itu disahkan negatif dadah.

Namun katanya, lelaki yang bekerja sebagai penghantar gas di negeri asalnya itu turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada ketika dia ditangkap sedang menunggu individu lain ataupun tidak.

“Suspek telah direman tujuh hari bermula 16 Ogos bagi membantu siasatan,” jelas Boon Keng.

Ujarnya Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");