Berita Hari Ini

Polis selesai ambil keterangan Khairuddin di Parlimen

Polis dilaporkan telah mengambil keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berhubung kegagalan menjalani kuarantin 14 hari, di Parlimen malam ini.

Menurut Bernama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman SAC Mior Faridalatrash Wahid memaklumkan perkara itu tetapi tidak menyatakan berapa lama ia berlangsung.

“Atas permintaan (Khairuddin), kenyataan diambil di Parlimen, bukan Bukit Aman,” katanya seperti dipetik.

Menurut laporan itu, lebih 50 wartawan menunggu di luar Bukit Aman hari ini setelah laporan menyatakan Khairuddin akan memberi keterangan di ibu pejabat polis itu.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Khairuddin berhubung kegagalannya menjalani kuarantin setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lepas.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu menjadi perhatian setelah Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat sebelum ini.

Menurut Kok, Khairuddin hadir di Dewan Rakyat pada 13 Julai dan ikut terlibat dalam mesyuarat serta pertemuan dalam tempoh kuarantin 14 hari yang mana menteri itu sepatutnya berada di rumah.

Susulan itu, Khairuddin dihujani kritikan ramai pihak yang antara lain membandingkan tindakan yang dikenakan terhadap awam yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pada 22 Ogos lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan Khairuddin telah dikompaun RM1,000 atas kesalahan itu.

Pada hari sama, dia memohon maaf atas kesalahan itu dan berikrar akan memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri.

Setakat ini tidak ada kenyataan jelas daripadanya mengenai lawatan berkenaan, sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");