Berita Hari Ini

Polis Siasat Individu Hina Islam Di Luar Negara

KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan terhadap seorang lelaki dipercayai warga tempatan yang berucap di luar negara dengan mengeluarkan kata kesat dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan kerana dengan jelas kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan.

“Bagaimanapun, setakat ini kita tidak terima sebarang laporan polis berhubung kes terbabit. Ucapan lelaki terbabit dipercayai dibuat di luar negara,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 11 minit 37 saat telah dimuat naik di laman Youtube memaparkan seorang lelaki bertindak biadab berdiri di hadapan sekumpulan umat Islam yang sedang menunaikan solat.

Tindakan lelaki berkenaan juga cuba dileraikan dengan pasukan polis di lokasi terbabit.

Malah, lelaki berkenaan juga turut mengeluarkan kata berbaur cacian terhadap agama Islam, penceramah bebas, Dr Zakir Naik dan Raja-Raja di Malaysia.

Setakat hari ini, tinjauan di laman Youtube mendapati video berkenaan telah mendapat lebih 5,000 tontonan sejak dimuat naik tiga hari lalu.

Berdasarkan komen di paparan video berkenaan mendapati rata-rata netizen mengecam tindakan lelaki terbabit dan berharap tindakan tegas undang-undang dikenakan terhadapnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");