Berita Hari Ini

Polis tidak kompromi dengan sebarang elemen gengsterisme, kata KPN

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan sebarang elemen gengsterisme, termasuk tindakan mereka yang mengugut mana-mana pemberi maklumat berkaitan kes jenayah.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata demikian semasa merujuk kejadian pemilik Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, yang mendakwa beliau diugut gengster susulan pembongkarannya mengenai aktiviti perjudian di Sungai Buloh, baru-baru ini.

“Saya tidak boleh terima elemen gengsterisme yang berlaku kepada dia (Asri) atau sesiapa sahaja yang berkongsi maklumat mengenai kegiatan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan di Bukit Aman, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Asri bahawa beliau dihubungi oleh individu mengaku ‘ayahanda’ yang tidak berpuas hati dengan perbuatannya mendedahkan kegiatan judi di Sungai Buloh, yang tular di media sosial.

Pada majlis itu, Timbalan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Shukri Abdullah dilantik memangku jawatan sebagai pengarah, selepas Rosli Ab Rahman bersara wajib hari ini.

Sementara itu merujuk kepada Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor yang dijangka bersara tidak lama lagi, Hamid berkata calon penggantinya akan diputuskan kerajaan nanti.

“Sebenarnya beliau (Mazlan), dari awal bulan ini sudah pun membuat persediaan dan bersedia dengan apa juga keputusan kerajaan, tetapi untuk persaraan memang dia sudah bersedia. Beliau adalah seorang peguam yang belajar di England, dan mempunyai pengalaman yang lama dalam Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman dan juga pernah berkhidmat di peringkat bawah daerah, negeri,” katanya.

Bernama difahamkan PDRM akan mengadakan Majlis Serah Terima Tugas bagi jawatan timbalan ketua polis negara di Bukit Aman esok.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat Mazlan yang dijadual menamatkan perkhidmatan pada 14 Ogos ini. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");