Perak Hari Ini

PRK Slim: 600 Anggota Polis Bertugas

SLIM RIVER: Dianggarkan sehingga ke 600 orang pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Slim.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendi Sulaiman berkata kesemua jumlah anggota dan pegawai terlibat itu bersiap-siaga bagi untuk penugasan sepanjang tempoh PRK tersebut seperti proses penamaan calon dan sekatan lalu lintas.

Katanya pada proses penamaan calon yang akan berlangsung esok, polis akan menutup sementara laluan masuk ke pusat penamaan calon yang akan diadakan di Bangunan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) bermula jam 6.30 pagi sehingga ia selesai.

“Laluan yang terlibat ialah simpang masuk ke MDTM dari Jalan Persekutuan iaitu berhadapan stesen Petronas Behrang 2020 serta Jalan Wawasan Perdana.

“Pihak polis telah menetapkan laluan ke pusat penamaan calon iaitu bagi calon Barisan Nasional (BN) boleh melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana.

“Manakala bakal calon yang bertanding selain daripada parti BN boleh menggunakan laluan di Jalan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mualim, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, pihak polis juga akan mengadakan dua sekatan jalan raya esok di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur iaitu di kilometer (km)117 arah selatan dan km121 arah utara.

Tambah beliau, Polis Tanjung Malim telah mengaktifkan bilik gerakan pilihanraya daerah dan kontinjen bermula 8 pagi tadi.

“Sepanjang proses penamaan calon berlangsung, segala aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat.

“Hanya tiga orang yang terdiri daripada calon, pencadang dan penyokong sahaja dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon, selain daripada mana-mana petugas yang mempunyai pas kebenaran oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Sulizmie Affendi turut mengingatkan agar kesemua parti yang bertanding untuk mendapatkan permit polis bagi sebarang aktiviti ceramah dan berkempen, kecuali aktiviti kempen secara dari rumah ke rumah.

Walau bagaimanapun beliau menasihatkan agar semua pihak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rantaian COVID-19 yang selari dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya jika berlaku sebarang pelanggaran SOP, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kerana negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tambahnya lagi, daripada 23,094 pengundi berdaftar 277 adalah pengundi awal Polis Diraja Malaysi (PDRM) yang akan menjalankan tanggungjawab masing-masing di IPD Mualim pada 25 Ogos nanti.

PRK Dun Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");